Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua dekad lalu, sewaktu gagal melanjutkan pelajaran ke luar negara, saya terserempak satu tulisan di Dewan Masyarakat – yang memberi inspirasi besar sehingga saat ini.

rustam sani died Waktu itu, ketika menghabiskan masa bersendirian di stesen bas Klang, saya membaca artikel Rustam A Sani tentang peranan intelektual dan bebalisme, mengulas idea daripada buku Intelektual Masyarakat Membangun karya seorang lagi pemikir besar kita, Syed Hussein Alatas.

Rustam meninggalkan kita 23 April, sementara ahli sosiologi itu disemadikan pada 23 Januari 2007 – putaran sejarah tidak semena-mena mencampak saya bersama dua tokoh besar ini walaupun ringkas tetapi padat dan penuh makna.

Pada 1988, tahun saya mula berkenalan dengan idea Rustam, menteri pelajaran waktu itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperkenalkan Tahun Membaca. Sepuluh tahun kemudian, dalam peristiwa Reformasi, saya berkenalan dengan Rustam – beberapa bulan sebelum majalah Detik (kini diharamkan) diterbitkan pada awal 1999.

Ahmad Lutfi Othman, sekarang ketua pengarang Harakah , dan saya mengundang Rustam menulis kolum untuk majalah tersebut – yang dianggapnya, sama ada bergurau atau sungguh-sungguh, “majalah politik yang paling serius” – pada hari-hari itu saya sering menikmati teh tarik bersama beliau.

Wawancara saya dengan Rustam pada awalnya berkisar persoalan memahami gejala yang disebut orang “gerakan Reformasi”, yakni limpahan ribuan manusia ke jalan-jalan raya di Kuala Lumpur susulan pemecatan dan pemenjaraan Anwar.

Ia berlangsung di kediamannya, di suatu sudut kecil yang selesa dan dipenuhi buku-buku. Jika berkunjung ke rumahnya beberapa kali selepas itu, saya masih duduk di tempat yang sama – yang membolehkan saya melihat ilustrasi seekor lembu (atau, seladang?) hitam sedang membuang najis (warna merah).

Katanya, ilustrasi itu bermakna “don’t bullshit me!”

menjelang reformasi Tempoh-tempoh itu sehingga pilihanraya umum 1999, bersama teman-teman aktivis dan penulis, mencetuskan suasana politik yang sungguh romantis. Saya ceritakan padanya bahawa saya suka mengikuti pandangannya di akhbar Utusan Malaysia dan buku-bukunya awal 1990-an.

Ketika saya sambung belajar di kampus tempatan, jika ada kesempatan, saya akan membaca tulisannya, termasuk satu tulisannya tentang “masyarakat penyayang” di majalah terbitan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), tempat beliau bertugas.

Pada bulan-bulan awal peristiwa Reformasi itu, yang terkesan di fikiran saya, Rustam berada dalam keadaan “sangat beremosi” – dugaan saya, beliau benar-benar jengkel dan memendam resah yang sangat mendalam dengan peristiwa sosial yang sedang membengkak itu. Kejengkelannya bukan pada kata-kata dan perkataan, ia mula mendarah daging, bertukar gerak nafas dan denyut jantungnya.

Sehingga kami juga berbeza pandangan tentang apa erti “kebebasan media”, “wartawan (arus perdana) sebagai perkakas” dan “aktivis media independen” dalam konteks perang besar gerakan Reformasi dengan regim Dr Mahathir Mohamad yang masih tercokol waktu itu.

Diskusi ini berlangsung di meja makan rumah beliau, bersama Zunar, sambil menikmati tapai. Waktu itu Malaysiakini.com baru berdiri beberapa bulan dan beliau bersama kartunis politik itu menggerakkan kempen memboikot tiga media utama yang dianggap keji dan hina dalam kempen pilihanraya umum 1999 – Utusan Malaysia , TV3 dan New Straits Times .

Saya fikir ia bermula pada kesangsian saya tentang kempen tersebut dan keperluan meluaskan kempen “media independen” yang kami, termasuk Ahmad Lutfi, sedang usahakan bersama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI).

Dan, seingat saya, inilah sahaja pendirian saya yang lebih tegas – selebihnya saya banyak mendengar, bersetuju, menggali dan bertanya daripada Rustam. Mungkin tabiat aktivis, atau golongan oposan, memang mudah mengiakan rakan diskusinya.

Perjalanan idea dan pengalaman sepanjang tahun-tahun awal Reformasi itu mendorong saya menulis siri-siri artikel ‘Tiada Noktah’ di Malaysiakini sehingga sebahagian yang utama daripadanya berjaya dibukukan dalam Patah Balek: Catatan terpenting reformasi – sebahagian besarnya sebagai pencarian peribadi daripada persoalan-persoalan yang muncul dalam sembang-sembang dengan Rustam, antaranya.

Menjelang dan selepas pilihanraya umum 2004, makin jarang saya bersua dan bersembang dengan beliau. Tulisannya juga makin jarang ditelaah lagi. Telefon pun jarang-jarang – walaupun niat untuk bertemu dan bersembang dengan beliau, setidak-tidaknya mengetahui analisis politik semasa, sentiasa tertanam kukuh.

rustam sani books 230408 02 Seingat saya ada dua pertemuan aktivis yang kami sama-sama hadiri, Socialism 2005 dan merayakan sambutan 'versi alternatif' 50 tahun kemerdekaan di bangunan tambahan Pasar Seni tahun lalu. Kadang-kadang ketika bosan bertugas di pejabat, saya mencuri-curi masa menyelak blognya.

Sehinggalah, pagi semalam, saya dikejutkan dengan panggilan telefon dan mesej SMS bertubi-tubi menyatakan beliau telah pergi buat selama-lamanya dan tidak meninggalkan apa-apa lagi kecuali tulisan, idea dan kenangan bersamanya.

Bangsa ini telah kehilangan sebutir mutiaranya dan gaya Rustam mengucapkan buah-buah fikirannya – yang sering pula sinis, tajam dan jujur – tidak mungkin kita nikmati lagi.

Semua orang akan pasti menghargai lebih baik seseorang yang dikaguminya, atau dicintainya, sewaktu kehilangan telah menjadi kenyataan yang tidak terelakkan lagi. Selamat jalan, Pak Rustam.

Fathi Aris Omar adalah pengarang berita Malaysiakini edisi bahasa Melayu.

ADS