Indahnya bekerja di sisi Rustam

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Apr 2008, 12:32 tengahari

Saya mengenali pemimpin politik dan penulis terbilang Rustam A Sani semasa bertugas sebagai pemberita Berita Keadilan pada akhir Januari 2001.

Ketika itu operasi buletin rasmi Parti Keadilan Nasional berpusat di Institut Kajian Dasar (IKD) di Bangsar Baru, Kuala Lumpur.

rustam sani died Rustam menjadi ketua pengarang bersama pengarah eksekutif IKD Khalid Jaafar, orang kuat bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai ketua pengarang, Rustam tidak perlu datang setiap hari. Selalunya, beliau datang pada hari tanggal mati (deadline) iaitu hari Ahad untuk menyiapkan kerja-kerja terakhir bersama-sama Khalid.

Bagaimanapun, jika diteliti atau dibuat perbandingan, Khalid yang banyak menentukan kandungan-kandungan berita dalam tabloid tersebut. Rustam hanya mengikut dan mengiyakan sahaja.

Selain saya, pemberita-pemberita lain termasuklah Ahmad Zaki Yamani Zainon, Faisal Mustaffa dan Chua Seong Koon - yang banyak menulis mengenai masyarakat Cina.

Bagaimanapun jodoh saya dengan Berita Keadilan tidak panjang. Saya telah "dipecat" dalam satu insiden yang saya kira dicipta untuk menendang keluar saya.

Tetapi saya tidak keseorangan. Zaki Yamani, pemuja Anwar bersama dua petugas grafik serta Rustam turut meninggalkan IKD dan Berita Keadilan .

Kerana ketiadaan pejabat, rumah Rustam di Bukit Lela, Gombak dijadikan markas operasi penerbitan Suara PRM , organ rasmi Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Berbanding Berita Keadilan , Suara PRM mempunyai permit penerbitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk dua minggu sekali.

Sebenarnya kami sangat mewah semasa berpejabat di rumah Rustam.

Isterinya Ruhani Zainal Abidin (foto bawah: tiga dari kanan) , yang baru bersara daripada jawatan pustakawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak putus-putus menyediakan makanan dan minuman.

rustam sani funeral 230408 family Setelah beroperasi beberapa minggu di rumah Rustam, Suara PRM memiliki pejabat sendiri di sebuah rumah kedai di Taman Danau Kota, Setapak.

Sekali-sekala, ia menjadi tempat tempat mesyuarat PRM. Oleh kerana itu, semua pimpinan tinggi parti itu pernah berkunjung ke pejabat Suara PRM .

Saya diberitahu oleh Zaki Yamani, taman perumahan itu dipilih kerana ia berdekatan dengan rumah Rustam dan memudahkan beliau datang ke pejabat.

Tugas menyiapkan buletin Suara PRM menjadi lebih mudah kerana selain Rustam yang menyumbangkan artikel-artikel, malah anak perempuannya Ariani (foto bawah: dua dari kanan) turut menyumbang terutama dalam bidang ekonomi.

Rustam tidak pernah mengadu mengenai isi kandungan Suara PRM , walaupun saya dapat merasakan ia tidaklah sebaik mana.

Mungkin kerana saya telah senior dalam bidang ini, Rustam selaku ketua pengarang Suara PRM tidak banyak pernah merungut mengenai berita-berita yang saya tulis.

Lagipun, daripada pemerhatian saya, beliau tidak suka menyusahkan orang lain.

Bagi saya Rustam bukan hanya seorang ketua pengarang Suara PRM , sebaliknya lebih daripada itu.

Saya selalu menumpang kereta Toyotanya untuk pulang ke Kampung Baru apabila menghadiri majlis bersamanya. Dan beliau pula tidak pernah merungut berbuat demikian.

Satu perkara lagi, Rustam seorang yang tidak pernah kedekut. Beliau selalu berbelanja rakan wartawannya tidak kiralah berapa kali dalam sehari.

Secara jujur saya boleh katakan begini. Tiada satupun kesalahan Rustam terhadap saya sepanjang persahabatan sejak tahun 2001.

Cuma saya agak kesal kerana tidak menuntut ilmu penulisan daripada Rustam. Pada pandangan saya, Rustam tidak akan lokek mencurahkan ilmunya kepada saya.

Mulai akhir 2004, saya jarang menemui Rustam kerana agak kesibukan setelah menyertai Malaysiakini .

Namun kenangan indah bersamanya masih segar hingga ke hari ini.

Muda Mohd Noor seorang wartawan di Malaysiakini

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.