Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk melaksana dan menterjemahkan peruntukan hampir RM69 bilion yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2027 sekali gus menyokong wawasan "Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera".

Demi kesejahteraan murid dan warga pendidik, KPM terus memfokuskan kepada kebajikan murid dan guru menerusi pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Elaun Sara Hidup Pelajar Tingkatan 6, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) serta Kebajikan & Profesionalisme Guru. Selain itu, projek penyelenggaraan dan pembinaan sekolah baharu turut menjadi fokus utama seperti mana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2027.

Peningkatan peruntukan ini merupakan amanah dan tanggungjawab besar yang perlu diterjemahkan kepada tindakan, pelaksanaan serta impak yang dapat dirasai oleh seluruh warga pendidikan. Sehubungan itu, KPM akan memperkukuh gerak kerja secara berfokus dan berimpak tinggi bagi memastikan setiap peruntukan dapat dimanfaatkan secara optimum berdasarkan keutamaan dan keperluan pemegang taruh KPM.

Belanjawan ini adalah manifestasi jelas keutamaan Kerajaan MADANI dalam meletakkan pendidikan sebagai nadi negara serta mendukung tema Belanjawan 2027 iaitu “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”. KPM bersedia melangkah pantas bagi menggalas dan melaksanakan segala mandat Belanjawan 2027 dengan tadbir urus kewangan yang cekap dan berintegriti.

Sumber : Kementerian Pendidikan (KPM)


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my