KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) yang merupakan Sistem Kesihatan Akademik swasta yang pertama di Malaysia telah memperkenalkan prosedur kolonoskopi dengan bantuan kecerdasan buatan (“AI”) di Johor Specialist Hospital (“JSH”) di Johor Bahru bagi menyokong pengesanan awal kanser kolorektal. JSH merupakan hospital pertama dalam rangkaian KPJ yang menggunakan ENAD (Peranti Endoskopi AI) iaitu satu sistem kecerdasan buatan yang dibangunkan oleh syarikat AI perubatan Korea Selatan, Ainex Corporation sekali gus memperkukuh keupayaannya dalam saringan dan diagnosis kanser kolorektal.

ENAD beroperasi menggunakan peralatan kolonoskopi Olympus sedia ada di JSH untuk menganalisis imej secara masa nyata. Sistem ini menggabungkan Pengesanan Berbantukan Komputer (“CADe”) dan Diagnosis Berbantukan Komputer (“CADx”) bagi membantu pakar mengenal pasti potensi lesi di kolorektal, termasuk keabnormalan bersaiz kecil atau leper yang mungkin sukar dilihat serta menilai ciri-ciri polip iaitu ketumbuhan pada lapisan dalam kolon. Secara ringkasnya, CADe menonjolkan kawasan pada skrin yang mungkin memerlukan penelitian lanjut manakala CADx membantu pakar menilai kemungkinan jenis polip tersebut. 

Sesetengah polip boleh berkembang menjadi kanser dari masa ke masa yang menjadikannya penting untuk dikenal pasti dan dinilai pada peringkat awal. ENAD menyediakan rujukan visual tambahan kepada pakar semasa prosedur kolonoskopi bagi menyokong pemeriksaan yang menyeluruh terutamanya apabila keabnormalan adalah kurang ketara.

Kanser kolorektal merupakan kanser kedua paling kerap berlaku di Malaysia dan kira-kira 70% pesakit didiagnos pada tahap III atau IV menurut Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kanser Kolorektal 2021 – 2025 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Kolonoskopi membolehkan pakar memeriksa lapisan dalam kolon serta membuang polip sebelum ia menjadi kanser, justeru pemeriksaan yang menyeluruh adalah penting.  

Profesor Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare Berhad


Profesor Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare berkata, “Pengenalan ENAD di JSH merupakan satu perkembangan penting untuk KPJ. Ia menunjukkan bagaimana AI dapat memberikan sokongan tambahan dalam saringan kanser kolorektal di mana pengesanan dan penilaian awal terhadap keabnormalan adalah amat penting. Bagi kami, keutamaannya adalah untuk menerapkan AI di mana ia boleh menyokong keputusan klinikal dan meningkatkan kualiti penjagaan. Ini bermakna kami perlu memilih teknologi yang memenuhi keperluan klinikal khusus yang akan memastikan ia digunakan secara bertanggungjawab serta mengekalkan standard yang diharapkan oleh pesakit kami. Beginilah cara kami berhasrat untuk memajukan penggunaan AI di seluruh hospital kami.”

Dr Abraham Mathew George, Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Gastroenterologi & Hepatologi, Johor Specialist Hospital


Dr Abraham Mathew Georgeo, Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Gastroenterologi dan Hepatologi di JSH berkata, “Semasa kolonoskopi, sesetengah keabnormalan mungkin sukar dibezakan dengan tisu disekelilingnya terutamanya apabila ia bersaiz kecil atau rata. Maklumat visual tambahan yang disediakan oleh ENAD boleh membantu kami meneliti kawasan yang memerlukan perhatian lebih rapi. AI tidak menggantikan kepakaran atau pertimbangan pakar endoskopi. Ia sebaliknya menyokong peniliaian klinikal dan keputusan kami sama ada pemeriksaan lanjut, rawatan atau tindakan susulan diperlukan. Matlamat kami adalah untuk menjalankan setiap pemeriksaan dengan seteliti mungkin serta menyumbang kepada pengesanan awal dan pencegahan kanser kolorektal.”

Dr Abraham Mathew George bersama Peranti Endoskopi AI (ENAD).


Pengenalan ENAD juga menyokong strategi jangka panjang KPJ Healthcare di bawah KPJ Health System yang mengintegrasikan aspek Amalan, Pendidikan serta Penyelidikan & Inovasi. Selaras dengan inisiatif Kumpulan dalam memajukan penyepaduan antara kecerdasan buatan, genomik dan penjagaan berasaskan nilai, inisiatif seperti ENAD memperkukuh tumpuannya terhadap penggunaan teknologi bagi menyokong keputusan klinikal dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit. JSH juga merupakan hab bagi Pusat Kecemerlangan pertama KPJ iaitu Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-paru yang dilancarkan pada bulan Disember 2025.


Untuk maklumat lanjut mengenai JSH, layari https://www.kpjhealth.com.my/johor. 


Ringkasan

  • Apa: Kolonoskopi berbantukan AI menggunakan ENAD yang menggabungkan Pengesanan Berbantukan Komputer (CADe) dan Diagnosis Berbantukan Komputer (CADx)

  • Dimana: Johor Specialist Hospital, Johor Bahru yang merupakan hospital pertama dalam rangkaian KPJ yang menggunakan ENAD.

  • Cara pelaksanaan: ENAD beroperasi bersama peralatan kolonoskopi Olympus sedia ada di JSH dan menganalisis imej secara masa nyata.

  • Mengapa ia penting: Kanser kolorektal merupakan kanser kedua paling kerap berlaku di Malaysia. Pengesanan dan penilaian polip pada peringkat awal membantu mencegah kanser serta meningkatkan pengesanan awal.

  • Peranan doktor: AI menyokong tetapi tidak menggantikan kepakaran dan pertimbangan klinikal pakar endoskopi. 


Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare Berhad.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi
advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my