Genting Property dan Huawei meterai kerjasama Kampus Pintar Pertama Huawei di Malaysia
Genting Property Sdn Bhd (“Genting Property”), bahagian hartanah Genting Plantations Berhad (“Genting Plantations”), telah melakar satu perkembangan penting dalam pembangunan Bandar Pintar Teknologi Johor (“JTSC”) menerusi kerjasama strategik dengan Huawei, sebuah peneraju teknologi global.
Kerjasama antara Genting Property dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd ini dimeterai menerusi Perjanjian Perancangan Induk (“Perjanjian Perancangan Induk”) sempena acara Huawei bertemakan “Infrastruktur Berpacukan Awan – Ekosistem Digital Baharu” di Pusat Seni Antarabangsa Shenzhen Longgang, bagi merealisasikan visi pembangunan JTSC daripada peringkat konsep kepada pelaksanaan sebenar.
Di bawah Perjanjian Perancangan Induk, Genting Property akan mendapatkan khidmat Huawei untuk menyokong perancangan induk JTSC, termasuk Kampus Pintar utama seluas 430 ekar dalam Kampus Pengetahuan AI. Keupayaan kecerdasan buatan (“AI”), kepakaran teknologi global serta pengalaman Huawei dalam pembangunan kampus pintar akan dimanfaatkan dalam peringkat pembangunan. Usaha sama ini merupakan kerjasama antarabangsa pertama Huawei dalam bidang Kampus Pintar serta pelaksanaan pertama keupayaan perancangan induk berasaskan AI Huawei di luar China.
Menerusi kerjasama ini, Huawei akan mengintegrasikan kepakaran globalnya dalam pembangunan kampus pintar serta keupayaan AI dan teknologi canggih ke dalam reka bentuk asas JTSC. Kerjasama bersejarah ini membolehkan JTSC memanfaatkan keupayaan teknologi Huawei yang luas, sekali gus memastikan perancangan induknya sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa, berlandaskan kejayaan Huawei membangunkan kampus pintar berskala besar dan berteknologi canggih di Shanghai dan Dongguan.
Selain perancangan induk JTSC, kerjasama ini turut menjadi landasan strategik bagi transformasi digital yang lebih meluas merentasi ekosistem Genting Plantations. Dengan menerapkan keupayaan kecerdasan perusahaan Huawei dalam operasi teras, kerjasama ini membuka jalan kepada kolaborasi yang lebih menyeluruh di seluruh Kumpulan Genting Plantations, sekali gus menyediakan asas bagi inovasi generasi baharu dalam teknologi pertanian, pengurusan tenaga mampan dan infrastruktur korporat berasaskan data.
Majlis pemeteraian perjanjian ini disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif Genting Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay, serta Ahli Eksekutif Lembaga Penyeliaan merangkap Ketua Pegawai Logistik Huawei, Encik Ren Shulu (Steven Ren), sekali gus mencerminkan kepentingan strategik kerjasama ini kepada kedua-dua kumpulan.
Daripada Visi kepada Pelaksanaan
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Genting Plantations, Dato' Indera Lim Keong Hui, berkata: “Kerjasama ini menjawab satu persoalan penting yang kami ajukan ketika merancang JTSC: bagaimanakah kita dapat membina masa depan hari ini untuk membawa perubahan yang besar dan memberi kesan nyata? Kami percaya teknologi mesti menjadi pemacu kemajuan, iaitu kemajuan yang dipacu oleh bakat tempatan yang kami perkasa serta pelaburan berkualiti tinggi yang menjadi rebutan setiap ekonomi progresif. Rakyat Malaysia berhak berada di barisan hadapan pertumbuhan ini, di tanah air sendiri. Berteraskan Kampus Pintar seluas 430 ekar, JTSC akan menjadi destinasi unggul yang membuka peluang tempatan menerusi inovasi global, sekali gus membentuk masa depan progresif melalui perancangan strategik yang jelas dan berwawasan.”
Huawei: Membawa Model Terbukti ke Peringkat Global
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Perusahaan, Huawei Malaysia, Encik Du Xianjun, berkata: “Kami berbesar hati mengalu-alukan Genting Property sebagai rakan kongsi antarabangsa pertama kami dalam bidang Kampus Pintar. Sebelum ini, kerangka pembangunan ini hanya digunakan di kampus pintar milik Huawei sendiri di China. Namun, model ini kini dibuka kepada syarikat global untuk berkembang maju dalam ekosistem inovasi bersepadu yang berteraskan gaya hidup. Kampus Pintar seluas 430 ekar di JTSC akan menjadi penanda aras baharu bagi pembangunan dan pengurusan ekosistem pintar masa hadapan di seluruh dunia.”
Manfaat kepada Malaysia
Memangkin Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (“JS-SEZ”): Mewujudkan hab teknologi bertaraf dunia yang mengukuhkan kedudukan JS-SEZ sebagai koridor pertumbuhan utama di rantau ini.
Menarik serta mengembangkan kehadiran syarikat teknologi global utama: Menjadi tarikan strategik kepada syarikat multinasional dan peneraju inovasi, membolehkan mereka mengembangkan keupayaan pembuatan termaju dan kapasiti pengeluaran secara lancar di lokasi yang sama.
Mempercepat pertumbuhan ekosistem tempatan: Mewujudkan persekitaran teknologi canggih yang menggalakkan perkongsian pengetahuan secara semula jadi serta meningkatkan piawaian industri tempatan.
Memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global: Menyerlahkan keupayaan Malaysia untuk menempatkan infrastruktur digital generasi seterusnya mengikut piawaian global tertinggi.
Kandungan ini disediakan oleh Delight Media Enterprise
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my
/file/attachments/888/01_602961.jpeg)
