Kerajaan memperuntukkan RM25.8 juta bagi melaksanakan tiga inisiatif pendidikan iaitu Program Kalvi MADANI yang menyediakan tuisyen percuma, bantuan nutrisi dan kelengkapan pembelajaran kepada murid daripada keluarga B40.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu disalurkan melalui kerjasama Yayasan Didik Negara dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia. 

Inisiatif berkenaan turut membabitkan penyediaan perabot untuk 362 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta pemasangan papan pintar di 388 SJKT bagi meningkatkan mutu persekitaran pembelajaran.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha memartabatkan bahasa perlu disertai peluang pembelajaran yang saksama tanpa mengira kemampuan ekonomi keluarga.

“Bagi saya, usaha memartabatkan sesuatu bahasa mesti disertai dengan peluang untuk anak-anak mempelajarinya dengan baik. Kita tidak mahu kemampuan ekonomi keluarga menentukan sejauh mana seorang anak boleh menguasai pelajaran dan mencapai kejayaan,” katanya pada Bengkel Sinar Kejayaan Bahasa Tamil Kalvi MADANI 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan memelihara bahasa ibunda sebagai sebahagian daripada warisan dan identiti masyarakat sambil terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bahasa Tamil, katanya, mempunyai tradisi kesusasteraan yang panjang sejak zaman Sangam, dengan karya yang merangkumi falsafah kehidupan dan kebijaksanaan yang diwariskan merentas generasi.

“Kepada anak-anak yang bakal menduduki SPM, manfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan. 

“Saya mahu kita melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan malah mengenali akar budayanya dan menghormati warisan masyarakat lain.

“Kerana perpaduan yang kukuh tidak menuntut kita meninggalkan identiti masing-masing. Sebaliknya, perpaduan tumbuh apabila kita belajar memahami dan menghargai antara satu sama lain,” katanya.