Ulama dan penulis terkemuka Nusantara Hamka menulis esei menarik yang diterbitkan dalam buku Malaysia 2001: A Preliminary Enquiry . Buku tersebut, yang terbit pada 1978 merupakan analisa hala tuju Malaysia pada awal kurun ke 21; seolah-olah versi prototaip Wawasan 2020 yang pernah popular tidak lama dahulu.

Esei Hamka bertajuk 'Developments in Islam' (Kemajuan dalam Islam). Esei tersebut membicarakan sejarah Islam di Malaysia sehinggalah akhir 1970an (ketika esei tersebut ditulis). Tulis Hamka: "Dengan mengambil kira semua kemajuan ini, soalan yang timbul ialah: Apakah situasi Islam di Malaysia pada 2001?"

Esei saya sendiri terlambat empat tahun. Tetapi soalannya masih relevan.

"Jenama" Islam

Jawapan Hamka: Islam akan memainkan peranan penting, kerana sejak bangsa Melayu memeluk Islam, Islam menjadi sebahagian daripada identiti mereka.

Tetapi Hamka sendiri mungkin tidak terfikir tentang pelbagai "jenama" Islam yang ada di Malaysia pada waktu ini. Ada Islam Hadhari, Negara Islam, Islam Tanwiri dan Islam Liberal, antara lain. Ada banyak lagi tapi kalau sekadar menghadkan pertanyaan kita kepada ruang politik, jenama-jenama tersebut tentu kita jumpa. Dan sudah semestinya timbul polemik yang panas apabila 'produk-produk' ini bertembung.

Dari aspek superfisial pelbagai jenama itupun, kita mungkin tergambar tentang betapa Islam merupakan antara elemen penting politik Malaysia, meskipun umat Islam hanya menjangkaui 60% daripada jumlah penduduk. Lebih-lebih lagi hari ini. Nak faham politik Malaysia, kena faham Islam. Jadi tekaan Pak Hamka dari aspek ini ternyata tepat.

Fokus saya ialah pada Islam Hadhari yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi; atau lebih tepat, buku tulisan pemimpin muda PAS, Ustaz Idris Ahmad, Islam Hadhari: Satu Penilaian Semula . Seperti yang dijangkakan, buku ini mengambil pendekatan kritikal terhadap gagasan tersebut.

Jika Mahathir popular dengan 'Wawasan'-nya, Pak Lah popular dengan 'Hadhari'-nya, yang dilihat kunci kemenangan Pilihanraya 2004.

Konsep Islam Hadhari

Buku tersebut saya fikir berjaya untuk mendedahkan betapa konsep Islam Hadhari gagal dikonstruk secara mendalam, dan bijak menggunakan sumber-sumber tokoh-tokoh yang simpati dengan pemerintah untuk menguatkan hujah-hujah penulis. Tetapi buku tersebut lebih sebagai tulisan politik popular (mungkin juga itu matlamat utamanya), dan pada pendapat saya agak kurang enak apabila isu-isu peribadi Pak Lah dan keluarganya (yang entah betul dan entah tidak, serta disumberkan daripada laman-laman web tertentu) diberi perhatian yang banyak. Buku ini bukan kritikan teoretikal.

Islam Hadhari ni bunyinya sedap, dan jika kita dengar ulasan dari pemimpin kerajaan seolah-olah satu anjakan yang begitu besar dari segi falsafah dan pelaksanaan pemerintahan Islam. Tetapi Ustaz Idris berjaya membuktikan ia lebih kepada jenama baru, atau pakej baru. Isinya sama. Pemimpin-pemimpin tetinggi kerajaan termasuk PM sendiri pernah akui: selama ini pun pelaksanaan Islam di Malaysia sejak merdeka lagi menepati Islam Hadhari.

Tambahan pula Ustaz Idris menyebut betapa banyaknya liputan media dibuat tentang keperluan "penerangan" mengenai Islam Hadhari ini (dengan menggunakan sumber-sumber media perdana). Seminar demi seminar diadakan, multaqa dianjurkan - tetapi apakah konsep sebenar Islam Hadhari ini? Kalau memang semata-mata sebagai deskripsi pendekatan Islam oleh BN selama ini, maka ia hanya label atau jenama. Bukan lontaran pemikiran yang original. Membaca buku ini, kita dapat melihat jelas betapa pincang konsep ini yang lebih kepada penjenamaan, atau branding.

Menarik apabila Ustaz Idris memetik antara lain kekhuatiran Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, Yang Dipertua YADIM, yang juga bekas pemimpin tinggi PAS yang telah menyertai UMNO mengatakan, "Dasar Islam Hadhari akan tinggal sebagai retorik politik sahaja andainya ia kekal berada dalam lingkungan penjelasan mengenai konsep sahaja."

Cuma kritikan Ustaz Idris ini mungkin boleh dibuat secara lebih tersusun, dengan diulas secara lebih analitikal, kalau tak akademik pun maka tulisannya pasti lebih sedap dibaca. Hanya menyenaraikan satu persatu kenyataan yang digunakan untuk menyokong hujah-hujahnya belum mencukupi. Dalam kata-kata aluan yang ditulis oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS tersebut turut mencadangkan agar sumber-sumber Bahasa Inggeris diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia.

Keraguan

Dan yang saya agak terkilan, ialah bagaimana sebahagian besar buku tersebut kemudian menumpukan terhadap begitu banyak isu-isu peribadi daripada "masalah halangan keintelektualan" PM hinggalah kepada gosip-gosip liar mengenai keluarga PM . Sedikit sebanyak perkara ini boleh diselit, tetapi mungkin secara lebih lembut dan jangan dijadikan isu utama buku tersebut. Tambahan pula apabila sumber-sumber gosip-gosip tersebut daripada artikel-artikel rambang dari Internet, dan dipetik secara spesifik oleh Ustaz Idris dengan disiarkan bulat-bulat.

Antara kesilapan pembangkang selepas Reformasi ialah memusatkan kritikan kepada peribadi PM waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohammad. Apabila beliau mengumumkan hendak letak jawatan, pembangkang mula-mula dalam penafian, dan kemudian seolah-olah hilang hala tuju buat sementara waktu. Itu juga antara sebab kegagalan pembangkang pada pilihanraya lalu. Dengan menyerang peribadi PM dan menantunya, nanti kita akan masuk perangkap yang sama.

Apabila berhujah bahawa PM terpedaya dengan dakyah beberapa pemikir Islam liberal pula, Ustaz Idris akan memetik kata-kata pemikir-pemikir yang ditentangnya itu bulat-bulat, dan hanya memberi satu atau dua ayatnya untuk menemai petikan tersebut. Kadangkala beliau tidak ulas langsung, sebaliknya hanya mengemukakan soalan retorik.

Beliau tidak secara menyeluruh membentuk hujah yang kritis terhadap apa yang dikemukan oleh penulis-penulis tersebut seolah-olah merasakan cukup bahawa pembaca secara otomatik akan menolak sebarang ide atau pandangan daripada golongan ini. Jelaslah bahawa ini buku politik popular yang ditujukan kepada penyokong-penyokong PAS; atas sebab itu barangkali beliau tidak berusaha untuk berhujah secara menyeluruh.

Antara Anyir dan Jakarta

Pada awal ulasan saya ini saya menyebut Hamka. Kini apabila membaca buku tersebut, dan teringat ulama dan penulis terkemuka Nusantara itu seolah-olah menggambarkan perbezaan wacana dan dialog antara Malaysia dan Indonesia. Kita gemar berpolemik hebat-hebat mengenai perkara-perkara tertentu, gemar politik yang cepat dihadam, tetapi yang kurang meninggalkan kesan yang mendalam. Sedangkan di Indonesia wacana mereka jauh lebih maju, matang dan mendalam. Kalau nak berdebat kerana hendak berpolemik semata-mata, bak tulis Ustaz Idris sendiri, "...pi mai pi mai, duk tang tu jugak."

Tetapi sekiranya perbezaan falsafah, teoretikal atau pemikiran yang didebat secara berhemah, terbuka dan ikhlas, barulah ia mampu untuk melakukan perubahan yang menyeluruh dan berkekalan. Kita boleh lihat jauh ke dalam sejarah Islam apabila Hujjatul Islam Imam Ghazali menangani wacana neo-Plato yang popular pada waktu itu dengan ilmiah, terbuka dan rasional.

Seperti yang saya tegaskan tadi, ada bahagian-bahagian awal analisis Ustaz Idris ini yang berguna. Kritikan Ustaz Idris dari aspek kelemahan gagasan Islam Hadhari ini kira bagus juga, ketika ramai pengkritik-pengkritik Islamis lain lebih gemar berdebat mengenai label Hadhari tersebut mungkin paling popular ialah buku 'bos' Ustaz Idris sendiri, Tuan Guru Haji Hadi Awang, Hadharah Islamiyyah, Bukan Islam Hadhari yang telah di-'gam.' Bukan salah membuat kritikan semantik, kerana sebarang istilah itu mempunyai konotasi yang jauh lebih mendalam. Cuma setelah asyik mendengar kritikan dari aspek tersebut, kita ingin perspektif lain.


NIK NAZMI NIK AHMAD menulis di pelbagai media dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Blognya di www.niknazmi.com.