Paling Popular
Terkini
mk-logo
S.A.F.E. Internet
Hidup bersama AI: Realiti di sebalik skrin yang tidak disedari rakyat Malaysia
Diterbitkan:  Mar 4, 2026 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Tanpa disedari, AI kini menjadi sebahagian daripada rutin harian rakyat Malaysia.

Ia digunakan untuk merangka e-mel sebelum mesyuarat, mencadangkan lagu ketika perjalanan pulang, serta menyunting gambar sebelum dimuat naik ke Instagram.

Malah, pelajar turut bergantung padanya untuk meringkaskan dokumen panjang ketika mengejar tarikh akhir tugasan. Apabila diminta, cadangan tontonan juga dapat diberikan dengan mudah.

Ada kalanya, AI seolah-olah memahami kita.

Namun begitu, di sebalik kemudahan tersebut, wujud realiti yang lebih kompleks -  sesuatu yang jarang difikirkan oleh kebanyakan pengguna.

Menurut Benjamin Shepherdson, Ketua Privasi di CelcomDigi, penggunaan alat berasaskan AI dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat. Kebimbangan utama, jelas beliau, bukan kepada kepantasan penerimaan teknologi ini, tetapi pada tahap kefahaman pengguna terhadap apa yang berlaku kepada maklumat yang mereka kongsikan.

“Isunya bukan pada kadar penggunaan, sebaliknya pada persoalan sama ada pengguna memahami bagaimana alat ini berfungsi dan apa yang berlaku terhadap data mereka,” jelasnya.

Jejak tersembunyi di sebalik penggunaan harian

Bagi kebanyakan pengguna, fungsi AI dilihat mudah dan biasa digunakan. Ia boleh hadir dalam bentuk penapis di TikTok, chatbot yang membantu menggubal jawapan, atau pembantu suara yang menetapkan peringatan.

Menurut Shepherdson, walaupun kelihatan kurang signifikan, penggunaan ini sebenarnya membawa implikasi yang lebih besar.

Benjamin Shepherdson, Ketua Privasi, CelcomDigi

Rakaman nota suara bagi memudahkan urusan, swafoto yang dimuat naik sebagai kenangan, atau arahan bertulis bagi membantu menyiapkan laporan - semuanya menyumbang kepada pembentukan data.

Sistem AI moden dibangunkan menggunakan set data berskala besar dan kebiasaannya terus belajar daripada corak tingkah laku pengguna.

Bergantung pada dasar platform, data ini boleh diproses, disimpan, dianalisis atau digunakan bagi menambah baik sistem.Sebagai contoh, TikTok mungkin kelihatan sekadar platform hiburan.

Namun, enjin cadangannya sentiasa meneliti apa yang ditonton pengguna, tempoh tontonan, kandungan yang disukai serta yang diabaikan. Hasilnya ialah suapan yang sangat diperibadikan, dibentuk daripada himpunan corak dan isyarat tingkah laku pengguna.

Alat produktiviti beroperasi dengan cara yang serupa. Pembantu digital lazimnya memerlukan akses kepada kalendar, kenalan serta input suara untuk berfungsi dengan berkesan. Walaupun ini meningkatkan kecekapan, ia juga membuka ruang kepada akses terhadap maklumat peribadi yang lebih mendalam.

Apa yang membimbangkan Shepherdson ialah ramai rakyat Malaysia tidak menyedari betapa berlapisnya proses pengumpulan data ini.

Platform AI berkemungkinan menyimpan sejarah perbualan, memanfaatkan input yang telah dinyahnamakan untuk mempertingkatkan model, serta merekodkan interaksi bagi tujuan keselamatan dan prestasi.

Amalan penyimpanan ini berbeza mengikut penyedia, dan perbezaan tersebut memberi implikasi kepada pengguna, khususnya apabila melibatkan perkongsian maklumat sensitif atau sulit.

Apabila teknologi terasa peribadi

Sebahagian tarikan AI terletak pada reka bentuknya yang mesra dan interaktif. Banyak alat dibangunkan untuk berfungsi secara perbualan serta memberi respons dengan pantas.

Bagi pengguna muda khususnya, berinteraksi dengan AI kerap kali terasa seperti berhubung dengan rakan atau meminta bantuan daripada rakan sekerja. Namun demikian, keakraban ini berpotensi mengaburkan sempadan antara manusia dan sistem.

“Interaksi ini berasaskan data, bukan empati,” tegas Shepherdson. Tahap responsif tersebut boleh menyebabkan pengguna tidak menyedari bahawa setiap pertukaran sebenarnya menjadi input kepada sistem yang direka untuk memproses serta belajar daripadanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa terdapat aplikasi yang mengumpul data melebihi keperluan fungsi asasnya. Namun, pengguna sering memberikan kebenaran kerana perkhidmatan menjadi lebih lancar, lebih pantas, atau menawarkan ciri tambahan.Lama-kelamaan, amalan ini menjadi kebiasaan. Akses data yang meluas mula dilihat sebagai sebahagian daripada “harga” untuk menyertai kehidupan digital.

Apabila kepercayaan disalahgunakanKesan daripada kepercayaan yang tersasar bukan lagi sekadar teori.

Penipuan penyamaran yang dijana AI kini semakin berleluasa, apabila suara yang diklon dan video yang direka digunakan untuk memperdaya mangsa. Ia boleh muncul dalam bentuk suara yang dikenali meminta bantuan kewangan segera atau mesej video yang kelihatan meyakinkan.

Teknologi ini mampu meniru individu sebenar dengan tahap ketepatan yang membimbangkan.

Pada 23 Feb 2026, muncul beberapa siri video TikTok dijana oleh AI yang menyamar menggunakan suara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar, kononnya mengumumkan bantuan kewangan kepada orang ramai sempena Ramadan.

Dari perspektif Shepherdson, kesedaran merupakan barisan pertahanan pertama. Pengguna disaran supaya lebih berhati-hati ketika berkongsi rakaman suara atau data wajah secara terbuka, serta mengesahkan sebarang permintaan yang mencurigakan melalui saluran yang dipercayai, khususnya apabila melibatkan wang atau maklumat sensitif.

Alat seperti pengesahan berbilang faktor menambah lapisan perlindungan, namun langkah teknologi semata-mata tidak mencukupi sekiranya pengguna tidak menyedari risiko yang wujud.

Tanggungjawab membina kepercayaan

Shepherdson menegaskan bahawa organisasi juga perlu memainkan peranan masing-masing.

Di CelcomDigi, katanya, usaha yang dilakukan melangkaui pematuhan peraturan semata-mata. Syarikat telekomunikasi tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan perlindungan privasi, mempromosikan literasi digital supaya pengguna lebih memahami bagaimana data mereka digunakan, serta bekerjasama rapat dengan pihak pengawal selia bagi menyokong amalan teknologi yang bertanggungjawab.

Menurut beliau, kepercayaan tidak boleh diandaikan hanya kerana sesuatu perkhidmatan itu popular atau mudah digunakan. Ia perlu dibina melalui ketelusan, kebertanggungjawaban dan kawalan bermakna oleh pengguna.

Ini termasuk mendapatkan persetujuan jelas sebelum menggunakan pengecam peribadi yang sensitif seperti wajah, suara atau sejarah perbualan untuk melatih sistem AI. Persetujuan tersebut, perlu jelas dan boleh ditarik balik, bukan disembunyikan dalam terma dan syarat yang panjang serta sarat dengan istilah teknikal.

Beliau juga menyokong pendekatan “privasi secara reka bentuk” (privacy-by-design), iaitu memastikan pengurangan pengumpulan data dan penyimpanan yang selamat diterapkan dalam sistem sejak awal, bukannya dianggap sebagai perkara sampingan.

Hidup bersama AI - secara bijak

AI kini menjadi sebahagian daripada rutin harian rakyat Malaysia - di tempat kerja, di sekolah, malah di rumah.

Ia menawarkan pelbagai kelebihan seperti kepantasan, kemudahan, kreativiti serta akses kepada maklumat. Namun begitu, kelestarian jangka panjang ekosistem digital bergantung pada sejauh mana pengguna memahami perubahan yang terlibat.Persoalannya bukan lagi sama ada rakyat Malaysia akan hidup bersama AI - kerana hakikatnya, mereka sudah pun berbuat demikian.

Persoalan sebenar ialah sama ada AI akan digunakan dengan tahap kesedaran yang mencukupi untuk melindungi maklumat peribadi, sambil menikmati manfaat yang ditawarkan.


Siri S.A.F.E. Internet ini adalah hasil kerjasama dengan CelcomDigi.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS