Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyindir presiden persatuan bola sepak tertentu di Malaysia yang didakwanya hanya tahu menabur janji.
Kata Tengku Mahkota Johor itu, ada sesetengah orang yang mentalitinya bijak dan "berasal dari negeri-negeri maju di Malaysia" sentiasa mencari peluang untuk menghina dan memperlekehkan JDT (Johor Darul Ta'zim).
Untuk pihak itu, Tunku Ismail mengemukakan satu soalah: Apakah hala tuju dan perancangan pasukan mereka dalam masa lima tahun?
Tidak mengharapkan jawapan, beliau sebaliknya memberikan penjelasan: "Tidak mengapa, biar saya jawabkan... Beli pemain import berbadan besar dari Afrika, main taktik hantaran long ball, dan menang Piala Malaysia.
"Baiklah, saya ucapkan selamat maju jaya. Adakah anda tahu berapa lama saya akan berada dalam kelab (JDT) ini? Adakah anda tahu apa perancangan dan objektif kelab JDT mulai hari ini dan hingga 20 atau 30 tahun akan datang? Adakah anda tahu berkenaan sumber kewangan kelab, program pembangunan akar umbi, pembangunan infrastruktur, pasaran global, usahasama global, jaringan pemantauan pemain tempatan dan antarabangsa, serta pelbagai aspek lain?"
JDT TETAP TERUSKAN KEHIDUPANAda sesetengah orang yang mentalitinya bijak yang berasal daripada negeri-negeri maju di...
Posted by JOHOR Southern Tigers on Friday, July 10, 2015
Kata Tunku Ismail beliau bukan seperti sesetengah pemimpin persatuan bola sepak yang merupakan ahli politik dan hanya tahu menjanjikan piala serta "harapan palsu" setiap tahun.
"Jadi tak perlu bersusah payah bencikan JDT, jadi peminat lebih baik. Membenci tak membawa ke mana pun," katanya dalam akaun Facebook Johor Southern Tigers.
Secara sinis beliau mengakhiri kenyataan itu dengan mengucapkan selamat maju jaya dan terima kasih atas sokongan serta sikap taat setia semua "penyokong gelapnya".
"Semakin hari semakin minat, cuma segan sahaja hendak mengaku. Tidak mengapa, saya tidak ambil hati. Diharapkan semuanya baik-baik sahaja dan semoga terhibur menonton filem Lord of the Ring *****, dan sertai persahabatannya. Semoga Allah peliharakan anda semua," tambah Tunku Ismail.
Tidak jelas apakah maksud Tunku Ismail apabila menggunakan ungkapan judul filem Lord of the Ring dengan simbol '*****' itu, namun umum mengetahui sering mengaitkan kenyataannya dengan perkembangan semasa.
