Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi tampil menyuarakan pandangan khusus untuk memajukan sukan bola sepak di Malaysia.
Kali ini, isu kewangan kelab dan persatuan menjadi pilihan beliau mungkin ditujukan kepada FAM dengan mengetengahkan "kewangan sana rata" sebagai sistem kewangan yang perlu diperhalusi.
Dalam tulisan di Facebook JOHOR Southern Tigers semalam, Tengku Mahkota Johor (TMJ) menegaskan sesebuah kelab bola sepak harus berbelanja mengikut kemampuan dan tidak terlalu berhutang sehingga menyebabkan muflis.
Menurut beliau, menjadi keutamaan bagi mana-mana organisasi untuk memastikan kewangan mereka diuruskan dengan baik, untuk membolehkan ia beroperasi dalam jangka masa panjang.
"Kita juga sering bersuara kepada badan induk (FAM) demi memperjuangkan hak-hak kewangan ahli gabungan, walaupun tanpa sokongan daripada ahli-ahli gabungan itu sendiri.
"Cuba kita jujur dengan diri sendiri, kita serius untuk memartabatkan bola sepak negara atau kita lebih berminat untuk menjatuhkan antara satu sama lain?" kata TMJ.
Tunku Ibrahim berkata, mana-mana kelab atau persatuan akan menghadapi masalah kewangan sekiranya tidak diuruskan dengan baik.
"Tidak kiralah betapa pemurah sekalipun penaja dan penderma atau betapa tebalnya poket penaung mereka," katanya.
Tak berbaloi
TMJ berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya pengurusan kewangan adil bermaksud setiap pasukan mempunyai satu belanjawan yang ditetapkan, dengan gaji pemain yang dihadkan, dan semua tersebut dikawal oleh badan pentadbir.
"Saya rasa saya pernah mendengar konsep ini sebelum ini, ia dipanggil komunisme. Dalam perkara ini, ia adalah komunisme bola sepak.
"Masalah dengan model " financial fair play " tersebut adalah ia tidak memupuk inovasi dan pencungkilan bakat.
"Buat apa sesebuah kelab atau persatuan berusaha membangunkan bakat pemain jika mereka sentiasa dijerat dari segi kewangan?” jelas beliau.
Sementara itu, katanya tidak berbaloi pemain bermain bermati-matian berusaha mengangkat tahap permainan mereka ke suatu tahap lebih tinggi hanya untuk melihat gaji mereka dihadkan.
"Katakanlah, RM10,000 sahaja? Tiada insentif untuk mereka berusaha mencapai kecemerlangan. Mereka tentu sekali akan berhijrah ke liga lain yang akan menilai bakat mereka dengan setimpal.
“Siapa pula yang akan menguatkuasakan "kewangan sama rata" ini ke atas setiap persatuan atau kelab?
Dalam keadaan sekarang tegas beliau, untuk satu kesalahan yang sama pun badan induk pentadbir bola sepak (FAM) negara tidak mampu memberikan satu keputusan yang konsisten.
" Financial fair play yang seperti ini hanya akan menggalakkan pemain dan pengurusan yang baik meninggalkan bola sepak tanah air," ujar beliau.
