Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Rindy si bunga mekar di gelanggang bola tampar
Diterbitkan:  Aug 14, 2015 11:30 AM
Dikemaskini: Aug 18, 2015 2:07 PM

Ternyata gabungan kerjaya sebagai anggota tentera dan atlet aktif tidak semestinya menjadikan seseorang wanita hilang kejelitaan, malah ia mungkin menjadi nilai tambah kepada mereka.

 Anggota tentera darat Indonesia ini, misalnya, menjadi perhatian sama ada di dalam atau luar gelanggang bola tampar.

Menurut Rindy Puspaningrum, dia mula diperkenalkan dengan sukan bola tampar seawal usianya 9 tahun.

"Ketika itu saya bersekolah rendah di Darangdan, Sumedang," katanya kepada media.

Melalui bakat yang ada, dia kemudian digabungkan dengan kelab bola tampar terkenal di Sumedang.

Di situ Rindy berlatih dengan tekun. Setiap petang kehadirannya dapat dilihat di gelanggang untuk berlatih bersungguh-sungguh.

Ketekunan itu disedari jurulatih kanan kelab dan perhatian yang lebih mula diberikan bagi mempersiapkan Rindy sebagai atlet handalan.

Ketika berusia 14 tahun, Rindy mengikut keluarganya berpindah ke Bandung. Di kota besar itu dia melanjutkan pelajaran di sekolah menengah dan bergabung pula dengan kelab bola tampar Bandung Tectona.

Menurut sumber, bukan sembarang orang diterima menyertai kelab berkenaan kerana hanya yang teruji dan terpuji diizin bergabung.

Namun kerana bakatnya, Rindy diterima dengan mudah oleh kelab berkenaan.

Kian matang bermain

Menceritakan pengalamannya, Rindy berkata, ketika di sekolah menengah prestasi pembelajarannya agak terganggu tetapi masih menempati 10 pelajar terbaik kelasnya.

Di Bandung Tectona, Rindy berlatih bersama pemain senior dan dibentuk pula jurulatih profesional. Percampuran itu menjadikan Rindy kian matang.

"Saya mula selesa bermain dengan atlet senior," katanya yang diletakkan di posisi spiker itu.

Bersama pemain lebih berusia, Rindy - kini memiliki ketinggian 175 sentimeter - mendapat dorongan dan disayangi.

Hasil penyertaannya dalam perlbagai pertandingan, usia, bakat, ketangkasan - dan paras wajahnya - cepat menarik perhatian.

Justeru dia menjadi pemain bola tampar termuda dalam Kejohanan Olahraga Kebangsaan Indonesia suatu ketika dulu.

Pada 2007 Rindy dihantar persatuan bola tampar Indonesia mewakili pasukan negara itu berlatih di Cuba.

"Bola tampar itu bagaikan sebahagian daripada hidup saya," katanya.

Disebabkan minat yang amat mendalam, Rindy mengakui sesekali dia terpaksa ponteng belajar kerana bermain bola tampar.

Kini berkhidmat dengan angkatan tentera, kelab bola tampar Ibu Pejabat Tentera Darat Indonesia menjadi antara pasukan yang sangat liat dipatahkan.

Gabungan ketangkasan dan paras wajah jelita menjadikan Rindy 'ratu' di gelanggang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS