Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Biasanya saya akan hanya menghabiskan masa yang terluang kalau ada, untuk menonton perlawanan bola sepak. Saya pun asalnya bukanlah peminat bola, sehingga suami saya (sebenarnya, bekas suami saya) selalu mengajak saya menonton bersamanya.

Daripada situlah saya mengenal dunia bola sepak Inggeris secara umum, dan kelab Liverpool secara khusus.

Saya nampak Malaysiakini kurang adil dalam laporan mengenai Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila ia melebihkan berita mengenai pasukan tertentu dan menghentak pasukan lain.

Semalam saya terbaca komentar berat sebelah dan berniat jahat Wira Kelana yang secara tidak langsung mengutuk pasukan kegemaran saya.

Sebenarnya, dalam perlawanan awal pagi tadi kita boleh nampak Liverpool hanya menjadikan Stadium Emirates sebagai gelanggang mengasah bakat baru. Atau dalam bahasa mudah, bermain untuk main-main.

Walaupun berdepan Arsenal yang saban tahun layak menyertai Champion League tetapi tak pernah menang, ia bukan alasan untuk tidak menurunkan pemain belasan tahun.

Gagal menjaring

Brendan Rodgers memilih Jordan Rossiter, Jordan Ibe dan Joe Gomez yang hanya berusia 18 dan 19 tahun untuk diturunkan pada perlawanan tumpuan minggu ini.

Malah, secara purata keseluruhan pasukan Liverpool yang 'bersungguh-sungguh berlatih' dengan juara Piala FA itu berusia 21 tahun.

Biarlah Arsenal menurunkan kesebelasan terkuat mereka, belum tentu mereka menang. Dan itu yang berlaku.

Keputusan 0-0 itu menjadikan Arsenal gagal menjaringkan sebarang gol sejak lima perlawanan terakhir di stadium itu. Sejak itu, nasib The Gunners merana.

Barangkali, penggemar Arsenal masih bernostalgia dengan kelincahan Thiery Henry dan mengharapkan Karim Benzema bakal datang menggantikan lagenda itu. Namun, Benzema pun tidak sudi.

Liverpool pula memiliki rekod sebaliknya. Tidak bolos-bolos waima satu gol pun sejak permulaan musim dan kelibat Cristian Benteke pasti menyeramkan mana-mana penjaga gol.

Keputusan seri itu memberi tamparan hebat buat pengurus Arsenal, Arsene Wenger itu kerana sehingga kini, belum lagi mampu merai kemenangan di tempat sendiri.

Beliau sepatutnya berterima kasih, bukan sahaja kepada penjaga gol, Petr Cech tetapi juga kepada palang dan tiang yang menafikan dua jaringan Philippe Coutinho.

Macam Captain Marvel

Arsene juga patut berterima kasih kepada pengurus Liverpool, Rodgers, yang sengaja 'enggan menang' apabila mengeluarkan trio Brazilnya - Coutinho, Firmino dan Lucas Leive - yang menyerlah dan licik mengelecek pertahanan lawan.

Sebaliknya memasukkan Ibe dan Rossiter. Kemasukan Rossiter paling mengejutkan. Ia penampilan sulung pemain yang menyertai Liverpool sejak berusia enam tahun di EPL.

Pemain terbaik Akademi Liverpool itu pendapat pujian lagenda The Reds - Robbie Fowler dan Jamie Carragher, sebagai pengganti Stevan Gerard berikutan aksi cemerlangnya menentang Inter Milan pada 2013.

Wajah beliau pula ada iras-iras Steven Gerrard ketika Captain Marvel itu membuat penampilan sulung bersama Liverpool. Ketika itu, Rossiter baru berusia 18 bulan.

Nyatalah, Rodgers bukan sahaja membina pasukan ampuh musim ini, bahkan mempersiapkan Rossiter sebagai Stevan Gerard 2.0 - sesuatu yang tiada pengurus pasukan lawan, mahu ia berlaku.

Seakan-akan mengulangi kebolehannya 'mencipta' Raheem Sterling, Rodgers melakukannya di gelanggang lawan, ketika berdepan pasukan Arsenal.

Saya harap pembaca seperti Wira Kelana dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan ini.


SITI MERAH MANJA adalah nama pena seorang peminat Liverpool. Beliau pernah menjadi suri rumah dan kini bekerja sendiri.

Lihat Komen
ADS