Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berundur terus, bukan beperingkat - itu tuntutan Ultras Malaya kepada Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bercakap kepada Malaysiakini , Alfadli Awaludin berkata FAM sudah terbukti gagal sejak sekian lama dan bukan berlaku secara berperingkat-peringkat.

Malah kata jurucakap Ultras Malaya itu, pihak yang perlu meletak jawatan bukan hanya presiden, malah seluruh exco badan induk bola sepak Malaysia itu.

"Keseluruhan exco perlu mengambil langkah sama dan mengambil tanggungjawab atas kegagalan sukan bola sepak negara," katanya.

Selepas terus dikecewakan skuad Harimau Malaya diaibkan dengan teruk di Abu Dhabi pada minggu lalu selepas tumpas 0 - 10 kepada Emiriah Arab Bersatu.

Penting berkaliber

Skuad negara turut menggunakan tiga penjaga gol untuk mengekang - dan gagal - asakan pasukan lawan.

Sebelumnya, pasukan negara turut dimalukan Palestin dengan jaringan 0 - 6 dan hanya mampu seri 1 - 1 dengan Timor Leste.

Ekoran perlawanan memalukan itu jurulatih Dollah Salleh mengambil tanggungjawab meletakkan jawatannya.

Tengku Abdullah semalam menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan dalam FAM secara berperingkat selepas rasa tidak puas hari orang ramai semakin meningkat terhadap badan berkenaan.

Tengku Abdullah mengambil alih jawatan itu daripada ayahanda beliau Sultan Ahmad Shah sejak 25 Mei 2014.

Alfadli berkata, jika boleh FAM dibebaskan daripada diketuai golongan bangsawan.

Mengulas mengenai tradisi peneraju jawatan itu, Ultras Malaya berharap jawatan Presiden FAM selepas ini diberikan kepada orang biasa.

"Faktor terpenting adalah individu itu berkaliber dan mempunyai keghairahan sejati terhadap bola sepak untuk benar-benar mampu memajukan sukan ini.

"Penyokong sudah lama mahu FAM dirombak dengan hala tuju, visi dan misi yang jelas dan lebih efisien," kata Alfadli.

Lihat Komen
ADS