Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Annuar: Kongres luar biasa selamat bola sepak M'sia

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa‎ menggesa supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan kongres luar biasa untuk menyelamatkan sukan bola sepak negara.

Menurut beliau, perkara itu termaktub dalam perlembagaan FAM untuk memanggil ahli-ahli gabungan supaya satu perbincangan mengenainya dapat dilakukan secara serius.

"Presiden perlu menjemput setiap ahli gabungan untuk diadakan kongres luar biasa ‎supaya semua negeri menghantar wakil dan berbincangan serta membuat ketetapan tertentu.

"Kalau difikirkan solusi untuk mempunyai satu barisan baru pentadbiran bola sepak negara kita boleh lakukan.

"Pada saya kalau presiden seorang yang berhenti (letak jawatan‎) itu tidak menyelesaikan masalah. Mungkin lebih buruk kalau tak ada presiden," kata Annuar pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Yayasan Pelajaran Mara, di Kuala Lumpur.

Terdahulu skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi buruk apabila tewas 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) disusuli insiden rusuhan di Stadium Shah Alam ketika pasukan negara menentang Arab Saudi, Malam tadi.

Beliau berkata, KAFA akan menghantar surat kepada FAM sebagai satu cadangan bagaimanapun terpulang kepada majlis FAM sendiri untuk difikirkan.

"Kalau mereka mahu duduk lagi di situ (FAM), yang penting buat perubahan bukan rombak. Tak rombak tak apa tapi kena ubahlah cara kerja.

'Mana blue print?'

"Daripada dulu lagi saya cakap sampai sekarang jawatankuasa bola sepak kebangsaan tak ada 'blue print' (pelan tindakan), buat kerja secara ad-hoc‎. Dah berapa tahun saya cakap benda ini sampai kena gantung," katanya.

Ditanya jika barisan jawatankuasa tertinggi FAM diganti, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan dalam bola sepak Malaysia.

"Se‎bab kita dah bagi peluang, tapi tidak nampak sebarang perubahan. Yang lama kekal boleh tapi ubah cara kerja, ‎kita nak tengok apa perubahannya.

"Kita tak perlu bergaduh, ambil ini sebagai ikhtibar untuk bangkit semula. Mungkin caranya kita duduk berbincang dan mencari jalan bersama berkongsi idea," katanya

MP Ketereh itu berkata, barisan kepimpinan FAM sekarang perlu berjanji untuk lakukan perubahan.

"Atau mereka berjanji untuk buat perubahan, boleh bagi peluang tamatkan sehingga tamat tempoh perkhidmatan.

"Kalau dah rasa tak ada idea, tak mahu buat perubahan mereka boleh letak jawatan semua sekali," kata beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS