Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Costa keji, Gabriel tak matang
Diterbitkan:  Sep 20, 2015 6:00 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Memang padang bola bukan tempat mendapatkan keadilan.

Pemain yang ganas, sengaja mencetus provokasi dan pintar bersandiwara akhirnya kekal dalam gelanggang dan mangsa penganiayaan pula dibuang padang.

Itu kesimpulan dibuat pelbagai pihak hasil perlawanan Chelsea menentang Arsenal di The Stamford Bridge malam tadi.

Peminat dan penganalisis sependapat Diego Costa keterlaluan dalam aksi agresifnya terhadap pemain The Gunners.

Selain Gabriel Paulista, pemain Perancis Laurent Koscielny adalah antara yang menjadi mangsa kerakusan Costa namun dia bernasib baik - setakat ini - apabila aksinya terlepas daripada mata pengadir.

Atau mungkin pengadil sendiri berpendapat Costa masih boleh dimaafkan kerana ketika itu Mike Dean - sang pengadil - sedar dia berada di atas padang kelab Costa.

Legenda Newcastle, Alan Shearer berpendapat Costa melampaui batas sebagai pemain beberapa kali malam tadi.

"Saya suka dengan permainan Costa tetapi dengan apa yang dia buat - merangsang Coquelin misalnya - memang saya benci. Saya menyampah sangat-sangat.

Bola sepak bukan tentang pengadil

"Menggunakan tangan mengasari muka Koscielny dua kali. Costa sedar apa yang dia lakukan dan sepatutnya dibuang padang.

"Costa memang sedang marah. Anda boleh nampak dia mencakar Gabriel," katanya.

Cuma untuk menyeimbangkan komen itu Shearer turut menyakahkan Gabriel kerana 'termakan umpan' Costa.

Kata bekas pemain kebangsaan England itu Gabriel sepatutnya lebih matang dan tidak bertindak balas ke atas Costa.

Dalam perlawanan malam tadi The Blues mengalahkan The Gunners 2 - 0 tetapi dengan Arsenal hanya diwakili sembilan pemain.

Selain Gabriel, turut dibuang padang ialah Santi Cazorla.

Pengulas sukan dan bekas penyerang Tottenham Hotspur, Garth Crooks juga tidak berpuas hati dengan kelakuan Costa dan mengarahkan kritikannya kepada pengadil.

"Saya nampak Dean (pengadil) tidak perlu membuang mana-mana pemain tetapi kelihatan dia sengaja mencari alasan untuk menggunakan kad merah.

"Jika tiada pemain dibuang padang, semua pihak akan berpuas hati," katanya.

Pada pandangan Crooks, hanya pengadil yang bersungguh-sungguh mahu membuang pemain Arsenal.

"Peminat buat tak kisah, pemain Chelsea tak peduli tetapi pengadil mahu membuang pemain.

"Itu bukan tugas seorang pengadi," katanya.

Menurut Crooks, Dean seorang pengadil yang baik dan berpengalaman, cuma menghadapi satu masalah - mahu menjadi perhatian terlalu kerap.

"Dia merosakkan permain. Mike (Dean), bola sepak bukan tentang kau, tetapi permainan itu sendiri. Orang ramai membayar tiket untuk menyaksikan perlawanan bola sepak, bukan aksi pengadil.

"Mike macam seorang cikgu sekolah yang cengeng," katanya.

Kesimpulannya, padang bola memang bukan tempat mendapatkan keadilan, tetapi di sebaik hakikat itu ia boleh menjadi tempat peminat membuat penilaian terhadap kepada kematangan dan maruah seseorang pemain - dan pengadil.

Lihat Komen
ADS