Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, akhirnya mengakhiri kemarau gol selama 748 minit dengan membolosi gawang Manchester City pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadiun White Hart Lane, Sabtu lalu.
Pada perlawanan tersebut, Tottenham berjaya menewaskan skuad Manuel Pellegrini dengan kedudukan 4-1, manakala Kane menjadi penjaring gol ketiga pasukannya pada minit ke-61.
Sebelum ini, prestasi Kane sempat dikritik kerana dilihat tidak lagi produktif menjaringkan gol. Akhirnya gol tersebut menjawab persoalan yang dilemparkan oleh khalayak pengkritik.
"Mungkin saya berjaya menjawab persoalan mereka yang bercakap mengenainya sejak beberapa minggu terkahir ini,"kata Kane seperti dilaporkan Soccerway.
"Saya hanya tidak menjaringkan gol selama tujuh perlawanan dan mereka seperti menganggapnya ia melibatkan satu musim. Mereka boleh menilai saya pada akhir musim.
"Saya perlu terus fokus, sesuatu yang luar biasa sekiranya saya boleh menjaringkan banyak gol," tambah penyerang berusia 22 tahun itu.
Kane berkata, kritikan yang diterima diakui mengecewakan tetapi turut menyuntik semangat untuk mempamerkan kemampuan sebenar.
"Perkara itu membuatkan saya kecewa. Tetapi saya menggunakan perasaan tu untuk membuktikan mereka silap menilai karier saya.
"Tidak mudah melalui soal ini ketika masih muda. Tetapi ia mendorong saya menjadi lebih baik. Semakin banyak orang mengkritik, semakin saya ingin membuktikan bahawa mereka salah," kata Kane.
