Sebaik sahaja tamat liga bola sepak tempatan musim 2015, timbul pula isu-isu yang melibatkan perpindahan pemain antara pasukan.
Bukan perkara baru, malah isu sama seperti dialami Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ini seolah-olah berlaku saban tahun ketika setiap pasukan masing-masing membuat persiapan menghadapi musim depan.
Terbaru, pasukan Kelantan sekali lagi menjadi mangsa apabila seorang pemain dari skuad Harimau Muda A tidak melaporkan diri ke skuad tersebut.
FAM...mengapa perkara sebegini masih boleh berulang??..tahun lalu isu FERIS DENIAL yg akhirnya FELDA TERPAKSA MEMBAYAR...
Posted by Tan Sri Annuar Musa on Saturday, 19 December 2015
Sebalik, pemain tengah Shahrul Azwari mengikat kontrak dengan pasukan Sarawak untuk meneruskan kariernya.
Perkara itu sekali gus mengundang kemarahan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.
Melahirkan keluhan terhadap FAM, Annuar menyifatkan badan induk bola sepak negara itu gagal menguruskan peraturan selepas kejadian sama masih berulang.
"FAM, mengapa perkara sebegini masih boleh berulang?
"Tahun lalu isu Feris Denial yang akhirnya menyebabkan Felda United terpaksa membayar kepada Kafa untuk mengelak kes dibicarakan di mahkamah," katanya dalam tulisan di Facebook, semalam.
Boleh diharamkan
Beliau turut memuat naik gambar majlis menandatangani pemain tersebut iaitu Syahrul Azwari dengan pasukan Sarawak.
Kata Annuar, kali ini Syahrul Azwari dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) pula membelakangkan Kafa dengan mengikat pemain yang dikembalikan ke pasukan negeri.
"Apa peraturan sebenar? Tidakkah persatuan boleh diharamkan dan pemain begini boleh digantung daripada liga kerana tidak patuh peraturan.
"Sampai bila keadaan begini nak berterusan?" soal beliau.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi FAM, FAS dan Shahrul sendiri atas tindakan itu.
Kejadian sama berlaku pada musim lalu melibatkan beberapa pemain. Lebih malang apabila pemain yang diikat kontrak dengan pasukan lain tidak berjaya ambil kembali oleh pasukan negeri.
Antaranya, pemain dari Kedah, Gary Steven Robbart yang diikat kontrak dengan JDT selepas menamatkan khidmat dengan Harimau Muda.
Beliau sepatutnya melaporkan diri ke pasukan Kedah, namun atas alasan pemain tersebut memulakan karier di Sekolah Sukan Bkit Jalil, FAM membenarkan tindakan JDT.
Bagaimanapun, Gary kemudian didenda RM50,000 dan digantung tiga bulan oleh FAM, manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Johor turut didenda RM100,000.
