Digantung lapan tahun, itulah nasib yang menimpa Presiden Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Sepp Blatter dan Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini selepas disabitkan dengan skandal rasuah.
Keputusan Jawatankuasa Etika Fifa yang bersidang di Zurich, Switzerland hari ini menyingkirkan mereka daripada sebarang aktiviti bola sepak di semua peringkat sepanjang tempoh tersebut.
Malah, hasrat Platini untuk bertanding jawatan presiden Fifa pada Februari depan juga terhalang susulan hukuman terbabit.
Kedua-dua mereka sebelum ini telah digantung selama 90 hari pada Oktober lalu bagi memberi laluan siasatan terhadap kes pembayaran franc Swiss 2,000,000 (AS$ 2,020,000) oleh Fifa kepada Platini pada tahun 2011.
Bagaimanapun, mereka menafikan sebarang salah laku terhadap dakwaan tersebut.
Melalui keputusan itu, Blatter yang menerajui Fifa sejak 17 tahun lalu dilihat bakal mengakhiri karier beliau dalam dunia bola sepak dengan sejarah buruk.
Siasatan terhadap mereka bermula selepas keputusan peguam negara Switzerland membuka prosiding jenayah mereka termasuk menyiasat kes pemberian hak tuan rumah penganjuran Piala Dunia 2018 (Rusia) dan 2022 (Qatar).
Sementara itu, di Amerika Syarikat, seramai 27 bekas dan pegawai bola sepak termasuk lapan bekas ahli jawatankuasa eksekutif Fifa turut didakwa berhubung rasuah dalam penjualan hak penyiaran untuk pertandingan bola sepak.
Ia juga melibatkan 12 orang individu dan dua syarikat pemasaran sukan telah disabit kesalahan.
