Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan sukan kebangsaan masih berpeluang mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyenaraikan sukan dan acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Low Beng Choo meminta persatuan sukan supaya mengemukakan rayuan sebelum senarai itu diumumkan secara rasmi sebaik tamat mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada 23 dan 24 Feb ini.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka perlu mempunyai justifikasi kukuh mengapa sesuatu acara itu perlu disenaraikan, selain menunjukkan prestasi yang memberangsangkan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2017 (MASOC).

"Kesemua sukan dan acara yang telah disenaraikan masih dalam fasa cadangan dan pertimbangan, belum dimuktamadkan lagi. Jadi mereka (persatuan) masih boleh membuat rayuan kerana senarai acara hanya akan diumumkan pada Februari.

"Kemudian ada satu lagi tempoh rayuan sebelum senarai muktamad diumumkan selepas mesyuarat terakhir SEAGF bersama kesemua 11 negara anggota pada 13 dan 14 Julai kerana mengikut peraturan, senarai akhir acara perlu diumumkan setahun lebih awal daripada hari pembukaan temasya itu," katanya kepada Bernama .

"Tetapi perkara yang paling mustahak ialah persatuan perlu kukuh dan mempunyai pelan pembangunan yang baik selain kos, gelanggang dan prospek pingat emas turut akan dikaji.

"Kita perlu kaji juga sekiranya Malaysia tidak menang pingat itu, negara manakah yang akan memenanginya dan apakah kesannya terhadap pungutan pingat untuk Malaysia," katanya.

Menurut Beng Choo, MOM masih mencari formula terbaik untuk mencapai dua matlamat penganjuran Sukan SEA buat kali keenam serta sambutan kemerdekaan Malaysia ke-60 tahun hadapan, iaitu menjadi penganjur dan pengelola terbaik dalam sejarah sukan itu serta muncul juara keseluruhan.

Beliau berkata setakat ini hanya 39 daripada 55 jenis sukan telah disenaraikan, namun terdapat kemungkinan besar untuk menambah atau menggugurkan beberapa jenis sukan dan acara bagi mencapai matlamat tersebut.

Menurut Beng Choo, 39 acara sukan itu ialah skuasy, kenu, hoki, badminton, karate, luncur ais, akuatik, menembak, bola sepak, bola keranjang, bina badan, tinju, bola tampar, bola jaring, boling padang, ski air, petanque, triatlon, silat, lawan pedang, taekwondo dan ragbi.

Turut tersenarai ialah hoki ais, tenpin boling, kriket, tenis, judo, golf, wushu, sepak takraw, memanah, ekuestrian, angkat berat, berbasikal, ping pong, snuker, biliard, olahraga, pelayaran dan gimnastik.

"Bagi hoki ais, luncur ais dan kriket, MOM membantu persatuan untuk dimasukkan dalam senarai sukan dwitahunan itu pada mesyuarat SEAGF di Singapura Jun lepas.

"Ini kerana ketiga-tiga persatuan ini telah menunjukkan mereka mempunyai pelan pembangunan sukan yang bagus," kata Beng Choo, yang juga seorang peguam.

Menurut analisis MOM, untuk muncul juara keseluruhan pada 2017, Malaysia bukan sahaja menghadapi cabaran sengit Thailand, tetapi juga Indonesia yang bersedia untuk penganjuran Sukan Asia 2018; tuan rumah Sukan SEA 2019 Filipina; Singapura serta Vietnam.

Malaysia menganjurkan Sukan SEA buat kali pertama pada 1965 yang pada ketika itu dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) serta pada 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Sukan SEA ialah pada 2001 apabila muncul juara kseluruhan selepas meraih 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa, manakala pada edisi di Singapura tahun lalu, kontinjen negara menduduki tempat keempat dengan 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS