Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Skandal rasuah tenis: Pemain utama dunia disyaki
Diterbitkan:  Jan 19, 2016 2:19 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Sejak 10 tahun terakhir ini seramai 16 pemain di kedudukan 50 teratas ranking dunia dihadapkan berkali-kali ke Unit Intrgriti Tenis (TIU) kerana disyaki mengatur perlawanan.

Antara mereka, lapor BBC , termasuk pemenang gelaran Grand Slam.

Di sebalik kecurigaan itu TIU membenarkan pemain profesional berkenaan terus bertanding dalam kejohanan di seluruh dunia.

Siasatan tercetus selepas pihak berkuasa memantau perjalanan sukan tenis mendapati ada sesuatu yang tidak kena pada pola pertaruhan membabitkan perlawanan Nikolay Davydenko dan Martin Vassallo Arguello.

Namun selepas siasatan dijalankan, kedua-dua pemain dibebaskan daripada sebarang tuduhan.

Pada masa sama, maklumat diperoleh digunakan untuk menyiasat lebih lanjut kesangsian berkenaan, termasuk kemungkinan rangkaian perjudian terancang turut membabitkan pemaian kelas atasan.

Dalam laporan sulit untuk badan pengelola tenis pada 2008, pasukan penyiasat berkata seramai 28 pemain perlu diselidik namun dapatan daripada proses itu tidak pernah diambil tindakan lanjut.

Persatuan Profesional Tenis (ATP) kemudian memperkenalkan kod amalan baru pada 2009 sebagai langkah mengekang kegiatan rasuah.

Langkah mereka terkandas lagi kerana nasihat perundangan memberitahu, kesalahan rasuah yang dikesan sebelum 2009 tidak dapat diambil tindakan.

Sindiket Russia, Sicily terlibat

"Hasilnya, tiada siasatan baru dijalankan ke atas mana-mana pemain yang diselidik pada 2008," kata jurucakap TIU.

Sementara itu Ketua TIU, Chris Kermode, pula memberitahu tiada sebarang bukti pengaturan perlawanan disembunyikan atas apa saja alasan.

Dia juga menafikan kes itu tidak disiasat secara menyeluruh.

"Namun dengan laporan didedahkan BBC dan BuzzFeed (sebuah syarikat media Internet AS), kami pasti menjalankan siasatan terhadap sebarang maklumat baru," katanya.

Kenyataan Kermode itu merujuk kepada sejumlah dokumen diperoleh BBC dan BuzzFeed mengenai siasatan terhadap pemain tenis profesional pada 2007.

Dalam dokumen itu dinyatakan, penyiasat mendapati ada sindiket perjudian di Russia, Itali dan Sicily memperoleh keuntungan besar bagi perlawanan tertentu.

Tiga daripada perlawanan itu - menurut dokumen berkenaan - adalah kejohanan Wimbledon.

Dokumen itu diserahkan sebuah kumpulan penyalur maklumat dalaman badan pengelola tenis profesional yang enggan dikenali.

Salah seorang penyiasat TIU, Mark Phillips, berkata kepada BBC , mereka menemui unsur mencurigakan beberapa kali.

"Ada kira-kira 10 suspek teras yang dipercayai menjadi dalang paling kerap mengatur perlawanan dan mereka adalah punca masalah itu," katanya.

Tanpa menjelaskan secara terbuka maklumat berkenaan, Phillips cuma berkata, dia tidak pernah melihat bukti sekukuh itu sejak 20 tahun bertugas sebagai penyiasat pertaruhan.

"Bukti sangat kuat. Kami ada peluang baik untuk bertindak dan mencegah kegiatan itu berterusan," katanya.

Penyiasat polis yang turut terbabit dalam siasatan itu, Benn Gunn, berkata memang ada elemen tertentu untuk menyembunyikan kegiatan berkenaan daripada dibongkar.

"Jika ATP serius mahu menanangi isu ini, mereka perlu menubuhkan unit integriti yang sebenar," katanya.

Persatuan Keselamatan Sukan Eropah yang memantau kegiatan pertaruhan di benua itu pula mengakui, ada lebih 50 perlawanan yang mencurigakan dikesan - dan dilaporkan kepada TIU - pada 2015.

Namun Pengarah TIU, Nigel Willerton, berkata semua maklumat dianggap boleh dipercayai akan disiasat dan dianalisis oleh pegawai penyiasat berpengalaman.

Namun, menurut maklumat yang ada pada BBC , agensi itu menyatakan lapan daripada pemain yang disyaki terbabit dalam rangkaian pengaturan perlawanan kini berada di Melbourne untuk menyertai kejohanan Terbuka Australia yang bermula semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS