Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Ulasan: Tajaan bola sepak dan hal sewaktu dengannya

Ramai tertanya-tanya, apakah yang boleh atau mahu dicapai pihak yang menaja sesebuah pasukan bola sepak khususnya di Malaysia?

Tanda tanya sebegitu timbul selepas peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan kesudian seorang jutawan kosmetik menaja pasukan Kelantan.

Barangkali sebelum ini tidak ada sesiapa pernah terfikir bahawa syarikat pengeluar produk kecantikan boleh memilih bola sepak sebagai padang publisiti mereka.

Namun pemilik Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman ( gambar ) melakukannya - sambil meletakkan 35 syarat - kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). Jumlah tajaan beliau adalah RM8 juta semusim atau RM16 juta untuk dua tahun.

Di pihak Kafa pula, persatuan itu dilihat begitu teruja dengan tajaan berkenaan lantas melantik wanita berasal dari Machang, Kelantan itu sebagai penasihat kehormat.

Namun, sejauh mana penajaan boleh mempengaruhi perjalanan sebuah pasukan bola sepak? Apakah dengan wang tajaan berjuta-juta boleh mengubah segenap sisi pasukan tersebut?

Perlu ada batasan

Pengurus Selangor, Amirudin Shari berpendapat, perkara itu bergantung kepada bagaimana sesebuah pasukan 'mengikat janji' dengan penaja.

Katanya, walaupun membelanjakan sejumlah besar wang untuk pasukan, penaja tidak boleh menentukan semua perkara berkaitan hala tuju pasukan tersebut.

"Ada banyak kesan (penajaan) terutamanya dari segi imej dan penampilan pasukan. Saya rasa sesebuah pasukan harus ada integritinya dan ada kekuatan sendiri untuk menentukan hala tuju pasukan.

"Banyak terjadi, saya lihat peminat atau orang yang berminat kepada satu-satu pasukan cuba menguasai pelbagai hal dalaman. Akhirnya mereka sekadar mengganggu proses pemilihan pemain dan perkara-perkara lain," katanya kepada Malaysiakini .

Tambah Amirudin ( gambar ), keadaan seumpama itu sepatutnya dielak oleh mana-mana pasukan sekali pun.

"Jadi saya anggap perlu ada batasan. Pemilik, persatuan ataupun pengurus kelab perlu tahu haluan untuk menentukan keadaan pasukan mereka," jelasnya.

Bagi pengurus dan jurulatih skuad The Red Warriors, K Devan, syarat ditetapkan Hasmiza kepada Kafa dirasakan tidak mengganggu fokus kejurulatihannya.

Dan beliau yakin, penajaan syarikat yang popular dengan produk Pamoga dan Qu Puteh tersebut akan memberi ruang dan peluang lebih baik buat Kelantan.

"Buat masa ini saya memutuskan sendiri segala aspek dalam pasukan berdasarkan sesi latihan dan kualiti pemain.

"Saya akan bincang dengan pengurusan tertinggi Kafa termasuk Tan Sri (Annuar Musa) dalam apa jua keputusan yang saya ambil berkenaan dengan pasukan," jelasnya.

Jangan jadikan negatif

Terdahulu Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida mengenakan dua syarat utama untuk menaja pasukan Kelantan iaitu Stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu dan nama TRW diadahulukan dengan Pamoga Qu Puteh.

Sementara itu, bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Dollah Salleh ( gambar ) melihat penajaan syarikat kosmetik sebagai perkembangan positif dalam industri bola sepak negara.

"Bagi saya kalau dulu syarikat rokok boleh taja pasukan bola, kini syarikat kecantikan dan kesihatan. Kalau rokok kita cerita pasal merosakkan kesihatan pemain.

"Bagi saya tak ada masalah perkara itu, ia akan menyuntik semangat di kalangan penyokong dan jadi satu tarikan.

"Sesuatu yang sihat, cuma jangan kita fikir hal seperti ini dijadikan negatif," katanya.

Selepas Qu Puteh mengejutkan peminat bola sepak tempatan dengan penajaan mereka, satu demi satu usahawan kosmetik tampil menunjkkan minat kepada Liga Malaysia.

Ternyata, fenomena dicetuskan pengasas produk Qu Puteh itu memberi cabaran kepada syarikat swasta memberi sumbangan demi meningkatkan standard bola sepak Malaysia.

Lihat Komen
ADS