Susulan dua produk keluaran Vida Beauty Sdn Bhd diharamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Brunei, timbul kegelisahan di kalangan penyokong bola sepak Kelantan.
Pastinya berita kurang baik itu mengejutkan semua pihak khususnya di kalangan penyokong skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).
Tinjauan Malaysiakini melalui komen-komen di media sosial mendapati, kebanyakan mereka bimbang sekiranya tindakan KKM itu turut menjejaskan penajaan syarikat tersebut kepada pasukan Kelantan.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net), Mahizi Mahmood, berkata walaupun dikejutkan dengan berita larangan terhadap dua jenama produk Vida Beauty mereka berharap perkara itu tidak mempengaruhi tajaan.
"Kita percaya ia tidak akan menjejaskan tajaan Vida Beauty kepada pasukan Kelantan memandangkan larangan tersebut hanya melibatkan dua produk sahaja," katanya kepada Malaysiakini , semalam.
Harap yang terbaik
Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan Vida Beauty menandatangani kontrak tajaan bernilai RM16 juta untuk tempoh dua tahun dalam usaha mengembalikan kegemilangan pasukan itu.
Malaysiakini kelmarin melaporkan, KKM mengharamkan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 yang didapati mengandungi paras raksa yang tinggi.
Brunei juga turut mengharamkan penjualan satu lagi produk syarikat tersebut iaitu Qu Puteh Whitening UV Block.
Sementara itu, Mahizi berkata, pihak mengharapkan yang terbaik untuk Vida Beauty dan Pengasasnya, Datuk Seri Hasmiza Othman.
"Mereka sudah menjadi keluarga besar PQPTRW, ia sedikit sebanyak memberi tempias secara tidak langsung kepada kami semua.
"Sama-samalah kita berdoa agar masalah ini dapat diatasi segera," katanya.
Sementara itu, Hasmiza dilaporkan menarik balik dua produk tersebut di pasaran susulan larangan dikeluarkan semalam.
Beliau memberi jaminan bahawa produk-produk lain keluaran syarikatnya seperti Pamoga, Qu Puteh Advance Set dan Millenia masih selamat untuk digunakan.
