Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Walaupun rekod 17 tahun dipegang beliau belum dipecahkan, legenda pecut negara, Watson Nyambek tidak berbangga malah terus berharap atlet muda, Badrul Hisyam Abdul Manap tidak mengalah.

November lalu, Badrul membuat kejutan apabila melakarkan masa larian 10.29 saat untuk 'memadamkan' rekod 17 tahun milik Watson di kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean di Brunei.

Malangnya, rekod tersebut tidak diiktiraf Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) susulan kesilapan teknikal penganjur.

Watson berkata, beliau bersimpati dengan nasib pelari kelahiran Melaka itu kerana terpaksa menjadi mangsa atas kesilapan pihak lain.

"Rekod yang diciptakan adalah untuk dipecah, saya harap Badrul boleh cipta rekod lebih baik di masa akan datang.

"Badrul perlu terima keputusan tersebut sebagai cabaran untuk buat yang lebih baik. Begitu juga dengan atlet-atlet lain di luar sana," katanya kepada Malaysiakini .

Tambah pencipta rekod acara pecut kebangsaan pada 1998 itu, apa yang penting insiden seumpama itu diharap tidak berulang lagi kepada atlet-atlet negara.

"Saya juga pernah mengalami nasib seperti Badrul, tetapi saya tidak putus asa dan terus berlatih untuk meningkatkan prestasi dan catatan masa," kata The Flying dayak itu.

Media semalam melaporkan, KOM membuat keputusan tidak mengiktiraf rekod dicipta Badrul selepas meneliti empat laporan daripada Persatuan Olahraga Brunei (BAA), Kementerian Pendidikan Malaysia, Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa dan laporan jawatankuasa teknikal KOM.

Sementara itu, BAA mengakui melakukan kesilapan apabila meletakkan alat pengukur angin di tempat yang salah menyebabkan rekod tersebut dipertikaikan.

Lihat Komen
ADS