Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bersemangat pada awalnya tetapi membatalkan hasrat melakukan larian di seluruh negara selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak lagi menjadi menteri besar.

Itu yang berlaku pada Nasir Abas yang sebelum ini melakukan larian solo dari Stadium Shah Alam di Selangor ke Alor Setar semata-mata untuk meraikan kejayaan pasukan Helang Merah beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia 2015.

Nasir kini berusia 61 tahun.

Peminat tegar bola sepak yang dipanggil Imam Nasir sepatutnya membuat larian solo sebagai promosi Tahun Melawat Kedah 2016 melalui program Discover Kedah.

Katanya, rancangannya itu sudah dipersetujui Mukhriz.

"Apabila kerajaan negeri bertukar pimpinan baru, saya tidak mahu teruskan idea tersebut dan merancang program lain.

"Saya sangat kecewa dengan situasi yang berlaku. Niat saya sebelum ini mahu menyumbang kepada negeri sendiri," katanya kepada Malaysiakini , hari ini.

Kedah mendapat menteri besar baru pada 4 Februari lalu selepas Mukhriz mengundurkan diri secara terpaksa dan tempatnya digantikan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Biar orang tahu

Pasukan Kedah bersaing dalam Liga Perdana pada musim lalu tetapi berjaya melakar kejayaan besar dengan mengatasi pasukan lain dalam Liga Super sebelum menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Walaupun hasrat membawa pulang Piala Malaysia disekat Selangor, ia dianggap kejayaan besar kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang ketika itu diterajui Mukhriz.

Kali terakhir Kedah beraksi di final Piala Malaysia ialah pada 2008.

Ketiadaan Mukhriz juga menyebabkan sekurang-kurangnya satu penaja menarik diri daripada membantu sumber kewangan KFA.

Menceritakan perancangan awalnya untuk mempromosi negeri jelapang padi itu, Nasir berkata dia sepatutnya membuat larian solo ke kawasan tumpuan ramai sambil mengedarkan risalah mengenai sektor pelancongan Kedah.

"Biar orang lebih ramai tahu bahawa di Kedah ada banyak tempat menarik," katanya.

Program Discover Kedah dilancarkan Mukhriz pada awal Januari lalu dengan menyasarkan kehadiran lima juta pelancong ke negeri itu sepanjang 2016.

Nasir bukan asing sebagai pelari solo dan namanya pernah tercatat dalam The Malaysia Book Of Records pada 2002 kerana membuat larian sejauh 1,754 kilometer dalam tempoh 30 hari.

"Saya sendiri mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Mukhriz mengenai masa depan pasukan Kedah.

"Beliau berjaya membawa penajaan besar untuk jangka masa panjang.

"Sayangnya, semua itu turut hilang selepas beliau disingkirkan. Tentulah saya bimbang dengan apa yang berlaku ini mungkin menjejaskan pasukan Helang Merah," katanya yang sentiasa turun ke Stadium Darul Aman setiap kali perlawanan pasukan itu berlangsung.

Kecewa bertukar

Bagaimanapun mengulas perkembangan skuad Kedah Nasir berkata, beliau akan sentiasa memberi sokongan padu dan mengalu-alukan kehadiran pemain baru ke skuad Helang Merah.

"Saya tetap sokong bola sepak (Kedah), walaupun kecewa dengan kepimpinan baru KFA," katanya ringkas.

Ditanya mengenai misi seterusnya, Nasir berkata, beliau akan mengadakan larian solo menyambut ambang kemerdekaan tahun ini.

"Larian itu akan bermula di Alor Setar dan berakhir sama ada di Putrajaya atau Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

"Untuk larian ini saya mengusahakan tajaan daripada syarikat kosmetik Vida Beauty Sdn Bhd dan D'Herbs (Holding (M) Berhad," katanya.

Sementara itu, salah seorang anak Nasir, Mohamad Ridzuan turut membatalkan hasrat beliau untuk mempromosi Kedah di China.

Mohamad Ridzuan berkata, sebagai seorang usahawan dalam bidang percetakan beliau sebelum ini turut berhasrat untuk membantu program Discover Kedah.

"Saya selalu pergi ke China dan menyatakan hasrat kepada Datuk Seri Mukhriz melalui pegawainya untuk membantu promosi pelancong Kedah dengan dana sendiri.

"Rancangan saya adalah dengan mengedarkan risalah mengenai tempat menarik di seluruh Kedah. Sebab sebelum ini jika saya tanya orang di sana, mereka hanya kenal Pulau Langkawi dan tidak kenal Kedah," katanya.

Bagaimanapun katanya, hasrat itu terbantut selepas kecewa dengan pertukaran pentadbiran kerajaan negeri itu baru-baru ini.

Lihat Komen
ADS