Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Klip tendangan percuma Faiz Subri sudah mula 'menakluk' dunia tetapi bagi sesetengah orang, keunikan itu adalah keajaiban yang biasa pada mereka.

Hakikatnya kebolehan Faiz bukan baru dikuasainya.

Sepanjang kariernya sebagai pemain profesional sejak 2009, sudah lima pasukan - termasuk Harimau Kumbang - mendapat manfaat daripada kehebatan pada dirinya.

Sepanjang tempoh itu sudah berkali-kali Faiz menyumbangkan kebolehan membantu pasukannya.

Cuma barangkali pada malam semalam sudah ditakdirkan segala-galanya seakan sempurna - jarak, masa, tempat dan tidak ketinggalan kedudukan kamera televisyen.

Maka apabila Malaysiakini bertanya pendapat jurulatih Pulau Pinang dia menyifatkan kemahiran Faiz bukan baru sehari dua ini dimilikinya.

Kata Jacksen Ferreira Tiago tendangan ala Roberto Carlos itu pernah dilakukan Faiz sama ada ketika latihan atau dalam perlawanan sebenar.

"Bagi kami ia tidak mengejutkan kerana saya dan rakan-rakan sepasukan sudah tahu kebolehan Faiz.

"Ya, dia melakukannya dengan baik dan gigih berlatih. Kalau dilihat kepada jaringan yang dilakukan pada perlawanan sebelum ini tendangan seperti itu pernah dilakukan.

"Tapi tendangan ketika menentang Pahang semalam itu sangat luar biasa," katanya kepada Malaysiakini .

Sudah pernah buat

Pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di George Town semalam, Faiz menjaringkan gol ketiga buat pasukannya melalui sepakan percuma yang menarik tumpuan ramai.

Namun berdasarkan keterangan jurulatihnya itu - serta semakan petikan video perlawanan sebelum ini - Faiz tidak asing dengan gaya berkenaan.

Seperti dinyatakan tadi, kedudukan kamera ketika bola itu menggegarkan jaring gol Pahang berada di kedudukan tepat dan sepakan dibuat pada detik yang tepat juga.

Menurut jurulatih dari Brazil itu, pada aksi Piala FA tahun lalu Faiz turut menjaringkan gol melalui sepakan bebas ketika mereka menang tipis ke atas Perlis.

"Cuma pada kali ini tendangannya sangat menakjubkan serta mendapat perhatian di peringkat antarabangsa melalui rakaman tersebut. Pastinya ia sesuatu yang membanggakan," katanya.

Tambah beliau, kejayaan Faiz itu diharap menjadi suntikan semangat kepada pasukan untuk mengharungi perjalan liga musim ini.

"Ini satu motivasi yang baik untuk Faiz dan rakan-rakan, kerana musim ini baru bermula dan kita mensasarkan kedudukan yang selesa di Liga Super," katanya.

Sementara itu ditanya tendangan 'ajaib' Faiz itu mungkin perkara biasa di negaranya, Brazil, Jacksen berkata, tiada terlalu ramai pemain mempunyai kebolehan seumpama itu.

"Kalau di Brazil kita ada pemain seperti Roberto Carlos, Juninho Pernambucano, Ronaldinho dan Ronaldo," jelasnya.

Jaringan Faiz padam 'banana kick' Roberto Carlos oleh kinitv

Lihat Komen
ADS