Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK) diarah membayar tunggakan gaji bernilai RM109,700 yang belum ditunaikan pertubuhan itu kepada gaji pegawai mereka antara Mac hingga Disember 2015.
FAM melalui kenyataan semalam berkata, seramai lima pegawai PBMK mengemukakan tuntutan tunggakan gaji antara tiga hingga 10 bulan.
Pegawai yang mengemukakan tuntutan tersebut ialah Ahmad Sobri Ismail, Hussin Jaafar, Zulkipli Mahmud, Izham Mustafa dan Abdullah Hassan.
Antara jumlah tertinggi melibatkan Abdullah dengan tunggakan gaji selama 10 bulan - bermula Mac hingga Disember 2015 - berjumlah RM30,000.
Selain itu, tunggakan gaji Ahmad Sobri pula membabitkan jumlah RM25,200 selepas PBMK gagal melunaskan gaji selama sembilan bulan bermula April hingga Disember 2015.
Sementara itu dalam kes berasingan, FAM menolak aduan Kelab Bola Sepak Frenz United terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berhubung tuntutan status pemain mereka, iaitu R Dinesh dan M Kogileswaran.
Jawatankuasa status yang bermeysuarat semalam berkata, mereka tidak mempunyai bidang kuasa mengadili pertikaian berkenaan kerana perjanjian antara Frenz United dan kedua-dua pemain adalah berkaitan kontrak biasiswa.
"Oleh itu, peraturan status perpindahan pemain tidak terpakai dan platform yang dikira sesuai adalah di mahkamah.
"Kedua-dua pemain dikenakan sporting sanction (sekatan kesukanan) daripada bermain dalam semua pertandingan bola sepak Malaysia sehingga permulaan tempoh perpindahan pemain kedua.
"Sekiranya kes ini tidak diselesaikan sebelum tempoh tersebut, kedua-dua pemain bebas untuk didaftar pada tempoh perpindahan tersebut, tertakluk kepada syarat perpindahan yang lain," kata kenyataan itu.
Tambah jawatankuasa itu, PBNP tidak boleh mendaftar kedua-dua pemain ini dalam tempoh sekatan berkenaan.
