Barangkali masih ramai yang enggan percaya EPL musim 2015/2016 hampir pasti milik kelab yang tidak pernah dijangka memberi saingan bermakna - Leicester City.
Ketika perlawanan berbaki hanya enam saja lagi, Leicester selesa mendahului kelab lain dengan 69 mata meninggalkan Tottenham Hotspur di tempat kedua yang memiliki 62 mata.
Arsenal pula di tempat ketiga dengan 58 mata dan mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Jika Leicester itu pun kurang dikenali, apatah lagi orang penting di belakangnya yang memungkinkan kelab itu mengejutkan ramai orang.
Berikut adalah beberapa nama penting di belakang tabir Leicester.
Vichai Srivaddhanaprabha (pengerusi kelab)
Tokoh kacukan Thailand - Cina, Forbes menganggarkan Vichai memiliki kekayaan bernilai £2 bilion (RM11 bilion). Dia membeli Leicester pada Ogos 2010 dengan harga £39 (RM215.8 juta).
Dia berusia 58 tahun dan memiliki rangkaian kedai bebas cukai, King Power International Group.
Vichai sangat jarang muncul atau melakukan sesuatu untuk publisiti dirinya.
Satu-satunya aksi Vichai yang dianggap menarik perhatian ialah perjalanannya pergi balik ke stadium menaiki helikopter peribadi.
Aiyawatt Srivaddhanaprabha (naib pengerusi)
Salah seorang daripada empat anak Vichai. Dikenali dengan panggilan Top, Aiyawatt bertanggungjawab dalam hal perjalanan harian kelab di Stadium King Power.
Suatu ketika dulu, dalam wawancara dengan media England, Aiyawatt berkata kejayaan kelab itu adalah hasil daripada perancangan yang teliti.
"Kami tidak boleh bergantung kepada orang lain untuk mencipta kejayaan," katanya.
Jon Rudkin (pengarah bola sepak)
Hubungan Rudkin dengan Foxes bermula sejak 20 tahun lalu. Malah dia adalah lepasan akademi belia Leicester dan menjadi jurulatih di kelab itu pada 1998.
Ketika menjawat tugas sebagai pegawai Pusat Kecemerlangan Leicester Rudkin membentuk ramai pemain berbakat, termasuk Emile Heskey.
Dia dilantik ke jawatan sekarang menggantikan Terry Robinson pada Disember 2014.
Supornthip 'Tippy' Choungrangsee (pengarah eksekutif)
Ahli perniagaan berasal dari Thailand. Supornthip adalah segelintir wanita yang diberi peranan besar di King Power.
So proud of being a part of Foxes . #claudioranieri #chairman #vice chairman #fearless đ
A photo posted by Supornthip Choungrangsee (@supornthip) on
Supornthip turut dikenali sebagai pereka bentuk barangan kemas dan perhiasan, selain menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Branded the Agency Co Ltd, Tippy Co Ltd, dan Working Diamond Co Ltd.
Media Thailand melaporkan pelanggan serta rakan Supornthip adalah kalangan selebriti yang memberikan jarangan hubungan yang meluas.
Keith Vaz (Ahi Parlimen Leicester Timur)
Vaz adalah tokoh kanan Parti Buruh dan penyolong tegar Foxes.
Di sebalik kesibukannya dalam politik Vaz adalah muka yang lazim berada di stadium mengikuti perlawanan Leicester secara langsung sebagai tetamu khas pengerusi kelab.
Pada November lalu Vaz membentangkan usul di parlimen untuk mengiktiraf kecemerlangan Jamie Vardy menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut.
Peter Shilton (bekas penjaga gol kebangsaan England dan Leicester)
Shilton adalah salah seorang legenda England dan Leicester. Dia menjadi tetamu kehormat kelab ketika Foxes menghadapi Southampton Ahad lalu.
Dia membuat 286 kemunculan bersama Leicester antara 1966 hingga 1974.
Susan Whelan (ketua pegawai eksekutif)
Susan ahli perniagaan kelahiran Dublin dan menjadi anggota pengarah King Power International dan wakil kepada pemilik kelab berkenaan.
Pada Julai 2011 dia dilantik sebagai CEO dan mengelola urusan harian Leicester.
Seperti Vichai, Susan juga tidak gemarkan publisiti berlebihan dan hanya sesekali muncul di depan media.
Andrew Neville (pengarah operasi bola sepak)
Satu lagi nama yang mempunyai hubungan lama dengan Leicester. Neville adalah bekas ketua pentadbiran bola sepak kelab itu.
Dia juga pernah berkhidmat bersama kelab Norwich City.
