Ini mungkin berita baik - atau setidak-tidaknya melegakan - penyokong Manchester United.
Pengurusnya Louis van Gaal percaya prestasi kelab itu ketika ini tidaklah buruk malah membanggakan.
Kata bekas pemain kebangsaan Belanda itu, United setaraf dengan Tottenham Hotspur tetapi cuma dibezakan oleh kekurangan kreativiti.
Spurs kini berada di tempat kedua EPL dan sedang ghairah memburu mata untuk memintas Leicester City di tempat teratas, manakala United di tanga kelima.
Musim kali ini akan berakhir pada pertengahan bulan depan.
Ketika Spurs sedang sibuk mahu memintas Leicester, United pula masih bergelut untuk menyelit menjadi satu antara empat pasukan teratas bagi memastikan tempat untuk bersaing dalam Liga Juara-juara musim depan.
Belanja lebih RM500 juta
Kemenangan 4-0 Spurs ke atas Stoke City beberapa hari lalu membayangkan mereka boleh memadamkan jurang lima mata dengan pendahulu liga.
Kata Van Gaal faktor membezakan United dengan kelab diurus Mauricio Pochettino itu ialah kelemahan pemainnya menjaringkan gol.
Keyakinan itu dinyatakan walaupun dalam perlawanan United - Spurs awal bulan ini anak didik Van Gaal membenarkan tiga gol menggegarkan jaringnya dalam tempoh tujuh minit.
Dalam perlawanan itu, katanya, United beraksi lebih baik kerana mendahului Spurs 1-0. Bagaimanapun, kata Van Gaal, keadaan berubah selepas minit ke-70 kerana kelemahan komunikasi.
"Justeru tak ada banyak beza United dengan Spurs. Cuma mereka menang lebih banyak dan menjaringkan gol lebih banyak kerana mereka mempunyai pemain lebih kreatif," katanya.
United setakat ini menjaringkan 40 gol dalam 33 perlawanan berbanding 64 gol dimiliki Spurs daripada 34 perlawanan.
Van Gaal membelanjakan lebih £100 juta (RM556 juta) membeli ramai pemain baru termasuk Anthony Martial, Memphis Depay, Morgan Schneiderlin dan Bastian Schweinsteiger.
United akan berdepan dengan Everton dalam saingan separuh akhir Piala FA pada Sabtu ini dan Van Gaal berharap dia dapat memanfaatkan kelincahan Wayne Rooney.
Bagaimanapun pemain itu perlu terlebih dulu membuktikan dia cergas dan layak diturunkan menentang kelab lamanya itu.
