Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
PFAM minta FAM bertindak terhadap Kafa
Diterbitkan:  May 3, 2016 2:39 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) meminta FAM mengambil tindakan lanjut terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kerana masih gagal melunaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya.

Dalam kenyataan dibuat hari ini Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, berkata berdasarkan jadual pembayaran dipersetujui antara Kafa dan bekas pemain terbabit, bayaran kedua sepatutnya dibuat pada 15 April 2016 lalu.

"Namun sehingga kini, pemain masih belum menerima bayaran tersebut," katanya.

Izham berkata mereka amat sedih kerana tiada langsung usaha daripada Kafa untuk memberi makluman awal terhadap kelewatan bayaran berkenaan.

Pegang janji dulu

Hanya selepas PFAM dan bekas pemain terbabit menghubungi sendiri Kafa barulah persatuan berkenaan memberi penjelasan mengenainya.

Dan penjelasan yang diberikan, kata Izham, amatlah mendukacitakan iaitu "menunggu wang daripada penaja" dan "akan diusahakan”.

"PFAM telah menghantar surat aduan berhubung perkara ini kepada FAM dan berharap agar pihak FAM memandang serius akan hal ini dan membuat tindakan selanjutnya terhadap Kafa.

"Selain itu juga, PFAM masih berpegang kepada janji FM-LLP (agensi mengendalikan liga Malaysia) untuk mengambil tindakan terhadap pasukan yang masih tidak menyelesaikan tunggakan bayaran pemain atau berusaha secara serius dan konsisten untuk menyelesaikannya selepas 11 Mei 2016, iaitu setelah tamat tempoh 90 hari yang diberikan," katanya.

Pada 27 April lalu Malaysiakini melaporkan Kafa berdepan masalah kewangan kerana dana dijanjikan penaja mereka belum diterima seperti sepatutnya.

Ia juga dibayangkan secara tidak langsung oleh Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa (gambar).

Semalam Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno mengeluh kerana tidak banyak pihak tampil membantu pasukan bola sepak Kelantan.

Annuar berkata, Kelantan merupakan pasukan yang menggunakan modal kecil dan paling miskin dalam pentas Liga Super 2016.

"Satu-satunya pasukan yang pengurusan terpaksa terus-menerus mencari tajaan yang belum mencukupi untuk perbelanjaan tahun ini.

"Satu lagi tahun yang sukar. Malangnya tak ramai yang membantu," kata ahli parlimen Ketereh itu.

Sebelum ini PFAM membangkitkan isu berkenaan selepas persatuan itu menerima aduan daripada lima bekas pemain Kelantan.

Lihat Komen
ADS