Paling Popular
Terkini

Hampir 23 tahun - itulah tempoh penyeksaan membelenggu bekas pemain bola sepak tempatan yang disabitkan aktiviti rasuah pada 1994.

Dan semalam, badan induk bola sepak negara - FAM - memutuskan agar pemain terbabit dibebaskan, atau dengan kata lain, mereka sudah boleh bermain bola, menjadi jurulatih dan apa saja melibatkan sukan itu.

"Terima kasih FAM, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan kementerian belia dan sukan dalam membantu usaha kami ini.

"Selama 23 tahun merupakan satu penyeksaan kepada bekas pemain yang tidak bernasib baik," katanya Presiden Bekas Pemain Bola Sepak Kedah (Kefa) Faridzul Kassim.

Dihubungi Malaysiakini, Faridzul berkata, pihaknya sebelum ini menghantar memorandum kepada FAM, AFC, menteri dan menteri besar Kedah berhubung rayuan tersebut.

Antara kandungan memorandum tersebut, katanya, menyatakan keinsafan diri dan kesedaran bekas pemain terhadap apa yang berlaku dulu, selain keinginan mencurah bakti kepada generasi muda.

"Kita mahu mengadakan program kesedaran belia tentang bahaya gejala rasuah dan salah guna dadah dalam bola sepak.

"Justeru, kita memohon pengesahan, pelepasan dan pembebasan daripada penggantungan FAM bagi bekas pemain yang terlibat rasuah sekitar 1994," katanya.

Kena buang daerah

Tambah beliau, sekiranya ada di kalangan pemain yang dibebaskan hukuman tersebut mengulangi lagi kesalahan sama, pihak berkuasa boleh membuka semula kes berkenaan dan mengambil tindakan undang-undang segera.

"Sekarang tiba masanya untuk mereka mencurah bakti kepada generasi muda bola sepak dan melahirkan pemain untuk negeri dan negara," jelasnya.

FAM semalam mengumumkan seramai 78 pemain bola sepak yang terbabit dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan pada awal 1990-an, kinidibenarkan kembali aktif dalam sukan itu.

Suatu ketika dulu dunia bola sepak digemparkan dengan pendedahan skandal rasuah serta mengatur perlawanan membabitkan ramai pemain, termasuk di peringkat kebangsaan.

Sebahagian daripada mereka disabitkan kesalahan manakala yang lain dikenakan perintah buang daerah.

Sejak itu kemerosotan sukan bola sepak semakin parah dan boleh dikatakan belum pulih seperti sepatutnya sehingga kini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B Sathinathan (gambar) berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran bekas pemain terbabit dalam usaha memartabatkan bola sepak negara.

Katanya, kehadiran bekas pemain tersebut dalam arena bola sepak tempatan diharap dalam membantu memajukan sukan itu khususnya di peringkat akar umbi.

"Kita perlu menerima mereka sebagai orang yang berpengalaman dalam bola sepak dan khidmat mereka diperlukan dalam pelbagai aspek.

"Antaranya untuk kejurulatihan di peringkat akar umbi atau remaja. Sebab dalam aspek kejurulatihan kita memang kekurangan orang yang berpengalaman.

"Saya juga mengalu-alukan mereka menjadi ahli PJBM selepas mendapat lesen kejurulatihan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS