Belum pasti bagaimana nasib sesetengah bekas pemain bola sepak yang belum diampunkan FAM.
Seorang daripada lima pemain Sabah yang masih dibelenggu hukuman itu ialah Matlan Marjan.
Bagi Matlan bola sepak adalah darah dagingnya hingga kini. Justeru dia sangat terkesan apabila larangan sejak 1994 itu dilanjutkan sekarang.
Melalui penggantungan seumur hidup Matlan, 48, serta pemain lain dilarang terbabit sama sekali dalam aktiviti bola sepak - sekurang-kurangnya di atas kertas.
Maka di Kota Belud dia mencari-cari ruang untuk mencelah cuba mencurah bakti mengikut kesempatan yang ada.
Bercakap kepada Malaysiakini Matlan berkata dia secara tidak langsung terlibat mencurah ilmu, petua dan pengalaman kepada kanak-kanak.
"Saya jadi pelatih tidak rasmi untuk pasukan bola sepak daerah Kota Belud menyertai Liga Bola Sepak Rakyat (LBR).
"Hasilnya pasukan kami layak ke LBR peringkat kebangsaan," katanya.
Jadi darah daging
Minggu lalu FAM mengumumkan menerima rayuan hampir 80 bekas pemain bola sepak yang sebelum ini dikenakan larangan menyertai sebarang aktiviti sukan itu kerana disabitkan kesalahan rasuah.
Bagaimanapun Matlan bukan salah seorang daripada mereka.
Turut dikekalkan hukuman itu lima yang lain: Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerald Mojiliu, G Raveychandran dan Charles Tindi.
Kini nasib mereka terletak di tangan Fifa jika FAM merujuk kes berkenaan kepada badan induk bola sepak dunia itu.
Bagi Matlan, hukuman gantung seumur hidup memang membebankan kerana bola sepak sudah menjadi darah daging padanya.
"Ia sebahagian daripada kehidupan saya," katanya.
Menurut Matlan hukuman gantung itu bukan saja memberi sekatan kepadanya untuk mengembangkan kerjaya malah menyekat pintu rezeki yang sepatutnya terbuka luas untuk orang sepertinya.
Disebabkan larangan FAM dan Fifa nama Matlan bagaimanapun tidak tercatat - apa lagi diiktiraf - sebagai penyumbang.
Matlan seolah-olah manusia halimunan.
"Sepanjang digantung, saya tetap mengikut perkembangan semasa bola sepak.
"Saya dan bola sepak tidak dapat dipisahkan, sebab itu saya memberi galakan kepada adik dan kini anak saya juga bermain bola," jelasnya.
