Reaksi lucu muncul selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar baginda sedang menjamu selera dengan hidangan 'anak gajah' di media sosial.
Tidak kurang menganggap aksi itu sebagai sindiran tajam selepas pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) membenam pasukan bawahan Liga Super, Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super itu, pasukan Harimau Selatan menunjukkan belang apabila membelasah skuad Tok Gajah 6-0.
Keputusan itu melonjakkan JDT selaku peneraju carta Liga Super dengan kemenangan kesembilan daripada 12 perlawanan.
Oleh itu tidak menghairankan apabila Tunku Ismail hari ini menjamu selera dengan 'anak gajah' dan mempamerkannya di Facebook.
Dalam wawancaranya yang disiar oleh Facebook Johor Southern Tigers selepas itu, Tunku Ismail memberikan penjelasan bahawa gambar berkenaan sekadar suka-suka.
Pemilik JDT itu berkata, tindakan memuatnaik gambar yang diedit itu tiada tujuan peribadi sebaliknya hanya untuk tatapan rakannya 'bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pahang'.
“Tiada apa-apa yang peribadi. Apabila ia berlaku kepada kami terutama apabila kami kalah, semua orang turut sama-sama bergabung dan menjadikan kami bahan jenaka mereka. Sehinggakan ada juga yang memijak bendera kami.
“Namun apabila kami melakukan sedikit perang psikologi kepada mereka, semua orang tiba-tiba berubah menjadi orang yang alim.
“Apabila ia datang daripada saya atau JDT, sesetengah orang menjadi terlalu sensitif. Saya tidak tahu mengapa. Mungkin kerana teman wanita mereka mahu merakamkan gambar bersama saya atau anak-anak mereka melihat saya sebagai seorang wira. Saya tidak tahu. Apa-apa sahajalah,” katanya.
Tunku Ismail mengakui beliau gembira dengan kemenangan besar malam tadi, namun menegaskan JDT perlu memberi perhatian lebih kepada Piala AFC.
“Sudah tentu saya gembira. Saya gembira dengan keputusan yang diperolehi. Tetapi itu sudah berlalu. Sekarang ini kita perlu tumpukan perhatian kepada persiapan pasukan untuk Piala AFC,” katanya.
'Insan ini tak pernah bunuh orang'
Dalam catatan di Facebook, Tunku Ismail turut menjelaskan makna 'jatuh' kepada pihak yang mendoakan kejatuhan pasukan Harimau Selatan itu.
“Ya. Seseorang menunjukkan kepada saya komen yang dibuat oleh sesetengah pihak, mengatakan bahawa mereka berdoa tibanya hari untuk JDT "jatuh".
“Sekarang, saya ingin bertanya sesuatu kepada anda yang bijaksana. Apakah maksud "jatuh"? Tidak memenangi trofi? Bukan wahai sahabat ku.
“Kejatuhan adalah apabila JDT gagal membayar gaji, padang tenggelam di dalam laut, stadium runtuh, tewas 12-0 setiap perlawanan, muflis ataupun pasukan ini sudah tidak wujud lagi,” kata Tengku Ismail.
Tunku Ismail menegaskan perkara itu tidak akan terjadi memandangkan beliau tidak pernah mencuri wang rakyat dan membunuh orang sebaliknya sentiasa membantu orang ramai.
“Tuan-tuan dan puan-puan, hari itu tidak akan terjadi. Ini kerana insan ini tidak pernah mencuri wang rakyat dan membunuh orang.
“Semua yang saya lakukan sejak hari pertama adalah membantu orang ramai dan menyatu padukan rakyat. Jadi saya tidak bimbang. Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang benar,” katanya.
