Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Siapa akan merindui Van Gaal di Old Trafford?
Diterbitkan:  May 24, 2016 2:57 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Setahun sebelum kontraknya tamat pengurusan Manchester United (MU) memutuskan khidmat Louis Van Gaal tidak diperlukan lagi.

Ia berlaku sehari selepas kelab berkenaan menjulang Piala FA selepas mengalahkan Crystal Palace. Pengganti Van Gaal juga sudah ditetapkan - Jose Mourinho.

Apabila musim 2015/16 berakhir minggu lalu MU berada di luar kelompok empat pasukan teratas dan ia adalah takdir kali kedua dalam tempoh tiga musim kelab berkenaan.

Seperti pernah dilaporkan media Van Gaal bukan tokoh yang ramah kepada pemain.

Sejurus selepas tiba di Old Trafford, Van Gaal mula 'mengasingkan' dirinya daripada pemain dengan sejumlah peraturan yang tidak digemari.

Bermula dengan kecil masalah itu kemudian menjadi kekangan kepada skuad bimbingannya.

Berikut adalah antara syarat Van Gaal yang tidak digemari pemain:

Sesi 'buang masa'

Setiap kali selepas perlawanan, Van Gaal mewajibkan pemain berkumpul keesokan hari untuk rutin "pemulihan".

Mungkin ada hujah saintifik untuk menyokong amalan itu namun kadang-kadang aktiviti yang dibuat lebih sedikt daripada regangan kaki di Kompleks Latihan Aon di Carrington.

Ia menyebabkan pemain berasa masa mereka terbuang dengan sia-sia.

Hanya sekali Van Gaal tidak memanggil pemainnya melakukan rutin berkenaan iaitu selepas MU kalah kepada Southampton pada Januari lalu.

Pada Oktober 2015, Van Gaal mengarahkan pemain MU berkumpul di pusat latihan berkenaan untuk prosek "menyejukkan badan". Ia kedengaran tidak membebankan, kecuali jika anda mengambil kira situasi pemain:

  • Mereka baru pulang dari Moscow berdepan CSKA Moscow dalam saingan kumpulan B Liga Juara-juara.
  • MU nyaris diabkan sehinggalah Anthony Martial berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1 sehingga tamat perlawanan
  • Pemain tiba di Manchster kira-kira jam 4 petang dan mereka hanya ada kira-kira sejam di rumah sebelum perlu kembali ke pusat latihan bertemu Van Gaal

Latihan berterusan

Pada September 2015 Van Gaal mengaku dia didatangi Wayne Rooney dan Michael Carrick yang mengeluh tentang sesi latihan amat menjerihkan pemain MU.

Kata Van Gaal, Rooney mendakwa semangat pemain mendatar kerana tidak senang dengan peraturan dilaksanakan bekas pemain kebangsaan Belanda itu.

"Mereka memaklumkan hal itu kerana mahu menolong saya," katanya di sidang media berkenaan.

Untuk 'mengatasi' kemelut itu Van Gaal tidak berbincang dengan Rooney - yang juga ketua pasukan MU - sebaliknya pergi bersemuka dengan pemain secara langsung.

Disiplin terlampau ketat

Cubaan Van Gaal memujuk pemain ternyata gagal memulihkan keadaan, sebaliknya set latihan mendera itu diteruskan ketika pemain sebelum kedatangan Van Gaal diberi kebebasan bersuara.

Di atas padang Van Gaal mahu setiap pemain hanya melakukan tugas yang ditetapkannya berbanding membiarkan mereka bertindak mengikut kesesuaian dan kemahiran sendiri.

Bagi sesetengah pemain paling berbakat di EPL, cengkaman melampau pengurus begitu tidak lebih sekadar penghinaan terhadap mereka.

Makan bersama

England di bawah Fabio Capello diarah untuk makan berjemaah jika ada perlawanan antarabangsa .

Van Gaal pula melanjutkan amalan itu walaupun ia memang tidak digemari pemain.

Pada peringkat awal peminat menganggap amalan berkenaan boleh mengukuhkan persefahaman dan disiplin antara pemain. Namun apabila Capello dipecat ekoran perselisihan faham antara dia dengan John Terry (gambar), amalan itu didapati menjadi antara sebab utama pemain England tidak berpuas hati.

Hanya beberapa bulan terakhir sebelum EPL musim 2015/16 berakhir barulah amalan berkenaan ditinggalkan Van Gaal.

Sebenarnya bukan amalan makan beramai-ramai yang paling tidak disenangi pemain, sebaliknya rutin berbaris menunggu giliran mendapatkan makanan lebih tidak disukai.

Diarah berbaris begitu tidak lebih memaksa pemain dilayan seperti kanak-kanak sekolah.

Pemain pula tidak boleh makan kecuali selepas Van Gaal duduk dan mula menyuap hidangan ke mulutnya - peraturan yang memperlihatkan pengurus itu begitu angkuh.

Apabila peraturan itu diketepikan mulai Januari lalu, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk memadamkan kemarahan pemain.

Lihat Komen
ADS