Paling Popular
Terkini

Sejak ditubuhkan pada 1997 Nusa Mahsuri menjadi kelab badminton pertama di Malaysia.

Diasaskan bapa kepada lima legenda badminton negara, Allahyarham Datuk Mohd Sidek Abdullah Kamar, Nusa Mahsuri rupa-rupanya sentiasa menjadi tumpuan pemain profesional dari luar negara.

Bukan sahaja pemain dari Denmark yang menjuarai Piala Thomas baru-baru ini berguru di Nusa Mahsuri, malah kelab itu sudah membimbing ramai pemain lain dari pelbagai negara.

Salah seorang jurulatih di Nusa Mahsuri, Zulfari Abdullah berkata, sebagai kelab profesional mereka sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pemain untuk dibimbing di situ.

Katanya, pemain yang pernah menerima latihan di kelab tersebut antaranya dari India, Hong Kong, Jerman, Norway, Sweden dan England.

"Nusa Mahsuri sentiasa terbuka dalam menerima kehadiran mana-mana pemain untuk diberi tunjuk ajar dan latihan intensif.

"Pemain dari luar negara datang dan pergi sudah menjadi kebiasaan di sini," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Nusa Mahsuri kini dikelola oleh anak-anak Sidek itu kembali menjadi sebutan selepas Denmark menjuarai Piala Thomas buat kali pertama di Kunshan, China pada 22 Mei lalu.

Tempias kejayaan Denmark itu turut terkena pada Datuk Misbun Sidek yang sebelum ini memberi latihan kepada sebahagian pemain Denmark.

Denmark berjaya menewaskan skuad Malaysia di peringkat separuh akhir sebelum menumpaskan Indonesia di perlawanan akhir.

Hampir 50 orang

Sebaik Denmark muncul juara Piala Thomas, media sosial menyiarkan gambar pemain negara itu termasuk wira yang menyumbang mata kemenangan, Hans-Kristian Vittinghus dan Jan O Jorgensen bersama Misbun dan adiknya, Jalani di Nusa Mahsuri.

Zulfari yang sudah 16 tahun berkhidmat dengan Nusa Mahsuri berkata, selain membimbing pemain profesional mereka juga memberi tumpuan melahirkan bakat-bakat baru sukan badminton negara.

Merujuk laman sesawang, nusa-mahsuri.com menyenaraikan hampir 50 pemain dan pasukan profesional dari pelbagai negara telah mengikut latihan di Nusa Mahsuri.

Antaranya, pemain kebangsaan Hong Kong, Ng Wei; pemain kebangsaan Jepun, Shoji Sato, Sho Sasaki dan Yuichi Ikeda serta pemain Denmark, Thomas Sogaard.

Sementara itu, Misbun ketika dihubungi Malaysiakini enggan ditemuramah mengenai perkembangan kelab badminton warisan bapanya itu buat masa sekarang.

Anak-anak Sidek menyumbang kepada kejayaan Malaysia membawa pulang Piala Thomas ke Kuala Lumpur pada 1992.

Selepas itu sebahagian daripada mereka berkhidmat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai jurulatih.

Bagaimanapun beberapa kemelut dalam BAM mendorong mereka meninggalkan persatuan itu dan menumpukan perhatian kepada Nusa Mahsuri.

Untuk rekod kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas ialah pada 1992 itu.

Lihat Komen
ADS