Kira-kira 60 tahun lalu seorang budak lelaki berusia 12 tahun mengayuh basikalnya ke ekspo untuk penduduk kulit hitam, Louisville Home Show. Tujuannya hanya untuk mendapatkan bertih jagung, hotdog dan gula-gula percuma.
Ketika Cassius Clay - budak itu - mahu pulang basikal merah putih jenama Schwinn yang dikayuhnya sebelum itu, tiada di tempat sepatutnya. Basikal itu dilarikan pencuri.
Seorang lelaki mencadangkan dia memberitahu seorang anggota polis, Joe Martin, di sebuah gimnasium berhampiran.
Ketika berlari sambil menangis ke situ, cerita Muhammad Ali dalam autobiografinya, apa yang dilihat dan dihidu daripada aktiviti tinju di gimnasium itu hampir melupakannya kepada basikal berkenaan.
Ketika mahu pulang Martin menepuk bahu Clay (atau Muhammad Ali) dan berkata: "Kami ada latihan setiap malam, dari Isnin hingga Jumaat, jam enam hingga lapan. Nah, ini borang kalau kau mahu sertai."
Memang laluannya ke persada tertinggi dunia tinju tidak mudah. Perlawanan pertamanya sebagai petinju profesional dihentikan beberapa minit selepas dimulakan kerana hidung Clay berdarah banyak terkena pukulan padu lawannya.
Enam minggu kemudian - ketika berdepan dengan Ronny O'Keefe - barulah Clay menikmati kemenangan pertamanya dalam perlawanan disiarkan melalui secara langsung melalui televisyen ke seluruh Kentucky.
'Terbang' bak rama-rama
Terlalu banyak 'cerita' tentang Clay - dan Muhammad Ali (selepas dia menganut Islam pada 1975).
Bagi sesetengah orang Muhammad Ali bukan sekadar atlet terhebat di abad ke-20 malah digemari media kerana jarang gagal memberikan cerita yang diingini.
Di dalam gelanggang Muhammad Ali adalah susuk yang menyebabkan seseorang mungkin berasa sayang untuk mengedipkan mata.
Seperti digambarkan, Muhammad Ali sebagai petinju adalah bagai seekor rama-rama yang mempersona namun pantas menjadi tebuan yang menyengat pada detik yang tepat.
Lihat saja gayanya beraksi di atas pentas pertarungan. Kakinya seakan-akan tidak menjejas lantai, manakala akalnya digunakan untuk membantu tangannya melakukan serangan tepat pada ketika yang tepat juga.
Kata petinju untuk melakukan serangan pantas seperti Muhammad Ali, seseorang perlu melakukan tiga jenis gerakan tangan yang berbeza - dan sepantas kilat juga.
"It's hard to be humble when you're as great as I am." #MuhammadAli pic.twitter.com/yFk7VDK636
— Muhammad Ali (@MuhammadAli) May 11, 2016
"In the ring I can stay until I’m old and gray because I know how to hit and dance away.” #MuhammadAli pic.twitter.com/yyzlKbEOTd
— Muhammad Ali (@MuhammadAli) March 31, 2016
Tiga gerakan itu ialah acahan, rangsangan untuk membuka peluang serangan dan tumbukan lurus dari tangan kiri yang biasanya mendarat di kepala dan menghantar gegaran ke bawah badan melalui tulang belakang.
Menurut Zora Folley, getaran tumbukan begitu dapat dirasai sehingga ke kaki dan membuat seseorang yang terkena seperti mahu meraung.
Folley adalah salah seorang lawan yang pernah ditentang Muhammad Ali. Mereka bertarung pada Mac 1967.
Satu lagi kelebihan Muhammad Ali ialah kepekaannya kepada ruang. Tanpa melihat (kerana matanya sentiasa memandang lawan) dia tahu masa yang sesuai untuk bergerak mengelak daripada terperangkap di sudut gelanggang.
Gerakan pantas kaki
Untuk memahaminya, seorang penulis mengaitkan Muhammad Ali dengan Jimi Hendrix.
Penulis sukan berpengalaman Mark Kram pernah menulis: "Untuk gambaran lebih jelas, bayangkan Jimi Hendrix memperbetulkan bunyi gitarnya bersendirian dalam tandas dan mendengar pantulan irama dan dengungan dari jubin. Muhammad Ali dalam gelanggang adalah bunyi-bunyian Jimi Hendrix."
Penari ballet AS George Balanchine pula mengagumi gerakan dan kekuatan kaki Muhammad Ali.
Selepas melihat petinju itu berlatih Balanchine terpegun dengan kepantasan kaki seorang petinju memiliki tubuh sebesar Muhammad Ali.
Penulis novel Itali Alberto Moravia pula bukan peminat sukan tinju. Ketika berbual mengenai isu teater, Moravia menyamakan melihat Muhammad Ali seperti Pablo Picasso.
"Dia memaksa kau melihat sesuatu dengan cara baru," katanya.
Moravia juga menganggap Muhammad Ali sebagai penulis yang beraksi dalam persembahannya sendiri.
"Tetapi dia mempersenda kesabaran anda. Ketika anda berasa seperti bosan dan mahu keluar, dia mengikat kaki anda kembali dengan gayanya, memek mukanya.
"Mungkin dia bosan dengan cerita yang dikarang, atau wataknya sendiri, atau mungkin dia lawannya itu yang membuat dia bosan," katanya.
Petinju legenda itu juga dikatakan tahu nilai cemas dan ketegangan dalam persembahan.
Seperti kata Kram, dalam kepala Muhammad Ali penuh dengan garisan plot dan bayangan menjelang pertarungan.
Muhammad Ali juga tidak membenarkan namanya - yang diberi penghormatan menjadi salah satu bintang di Walk of Fame Hollywood - diletakkan di siar kaki seperti tokoh terkenal yang lain.
Bintang dengan nama Muhammad Ali diletakkan pada dinding di laluan berkenaan.
Semasa hayatnya dia juga seorang penutur yang selalu menghiburkan - atau menjengkelkan - dengan kata-kata spontan dan tajam.
"Sukar untuk merendah diri apabila anda sehebat saya," katanya pada suatu ketika.
Hari ini lelaki bernama Muhammad Ali itu menghembus nafas terakhirnya di Phoenix, Arizona pada usia 74 tahun.
Dia dikejarkan ke hospital oleh anggota keluarganya selepas menghadapi masalah pernafasan. Di luar gelanggang Muhammad Ali juga bertarung - dengan penyakit Parkinson yang dialaminya sejak 32 tahun lalu.
Dia didapati menghidap Parkinson tiga tahun selepas bersara pada 1981. Sesetengah pakar perubatan berpendapat penyakit itu adalah kesan daripada trauma pada kepalanya ketika aktif sebagai petinju.
Muhammad Ali juga sempat menubuhkan Pusat Parkinson Muhammad Ali di sebuah hospital Phoenix.
