Kamu yang cintakan sukan khususnya bola sepak, harus tahu sejarah dan susuk tubuh tegap bernama Mokhtar Dahari - seorang watak yang dilihat tidak banyak cakap tetapi apabila di atas padang dia watak yang banyak dipercakapkan.
Lariannya laju, gelecek bola di kakinya tangkas dan mengelirukan, tendangannya kencang.
Ya, dia adalah raja padang.
Dalam sejarah bola sepak Malaysia, pemain berjersi nombor 10 ini merupakan penjaring terbanyak peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Apabila di atas di padang dalam setiap perlawanan sama ada peringkat negeri (Selangor) atau negara, jaringan gol daripadanya sentiasa dinanti.
Dia adalah legenda bola sepak negara, penyerang terbaik Asia. Dialah Supermokh!
Saya adalah penonton tangga kambing di Stadium Merdeka yang turut memekik-melompat-menggenggam penumbuk ketika dia menjaringkan gol selepas membuat larian solo dan laju dengan bola di kaki, menggelecek beberapa pemain England dalam satu perlawanan persahabatan pada 1978.
Saya juga menyaksikan dia dibuang padang (kerana diber kad merah) sewaktu bertemu Singapura dalam perlawanan Piala Malaysia pada 1981.
Jika tidak salah, punca Mokhtar dibuang padang adalah kerana Mokhtar hilang sabar dan membalas kekasaran lawan selepas berberapa kali dia dikasari, malah dengan sengaja.
Dan saya turut terbabit memaki hamun pengadil yang melayangkan kad merah kepada Mokhtar.
Itu adalah kad merah pertama dan terakhir yang diterima Mokhtar sepanjang kerjayanya dalam bola sepak.
Dan saya pula - yang kaki bangku tetapi kaki bola - bukan kali pertama dan terakhir memaki pengadil, ha!
Suatu ketika dulu Mokhtar juga pernah buat cameo dalam filem Othman Hafsham, Mekanik. Filem itu ditayangkan pada 1983.
Bagaimana tiba-tiba saya tergerak mengomel pasal Mokhtar Dahari?
Puncanya: Isnin, 11 Julai 2016, pukul 11.44 malam, saya terima info melalui WhatsApp berupa potongan akhbar ucapan takziah kepada keluarga allahyarham Mokhtar di atas kembalinya ke rahmatullah pemain bola sepak legenda ini.
Ucapan tersebut adalah daripada pihak pengurusan dan rakan-rakan allahyarham di Kwong Yik Bank. Ketika hidupnya arwah adalah kakitangan bank berkenaan.
Pada zaman dulu belum ada bola sepak separuh profesional, apa lagi profesional. Sebahagian pemain bola sepak bekerja dengan bank dan mereka mendapat gaji daripada majikan mereka di luar padang bola.
Ya, 11 Julai adalah ulang tahun pemergiannya. Mokhtar meninggal dunia pada 11 Julai 1991.
Ucapan berupa iklan akhbar ini berlaku lama dulu iaitu sempena ulang tahun pemergian Mokhtar. Rakan-rakan arwah mengirim-mengingatkan peristiwa ini dan mereka mengirim daripada rakan kepada rakan masing-masing.
Dan, saya menerima info itu daripada Khalid Ali, rakan sepasukan Mokthar dalam kelab, negeri (Selangor) dan kebangsaan.
Khalid Ali adalah jiran setaman perumahan saya di AU4, Hulu Klang. Khalid juga legend dalam bola sepak Malaysia, jangan main.
Info daripada Khalid Ali membuat saya terpana.
Segera saya hubungi seorang rakan pengarang portal berita meminta dia membuat sedikit liputan mengingati arwah Mokhtar, rakan itu turut terpana, dia membalas: "Gua sudah terlelap tadi, bila dapat wasap lu dan info pasal allahyarham Mokhtar, sekarang gua tidak boleh tidur. Gua sangat terkilan. Gua patut tahu benda-benda seperti ini."
Sekarang selain mengenangnya dari semasa ke semasa, kita juga mungkin boleh teringat kepada kepantasan Mokhtar mengawal bola di atas apabila melalui sebatang jalan di Selangor.
Bermula dari persimpangan Jalan Meru - Puncak Alam dan berakhir di Jalan Subang - Batu Tiga Shah Alam ada sebatang jalan sepanjang lebih kurang 17 kilometer terentang di sana. Nama jalan itu Persiaran Mokhtar Dahari.
Al-Fartihah.
Pyanhabib Rahman
11 Julai 2016
PYANHABIB RAHMAN penyair yang kaki bola walaupun kaki bangku, sanggup berjalan kaki 6km dan menjadi penunggu tetap tangga kambing Stadium Merdeka, selain pemula terawal fenomena seragam bendera Selangor
