Jika ditanya apakah faktor kejayaan Portugal menjulang gelaran juara Euro 2016, ketua pasukannya Cristiano Ronaldo menyatakan rahsia mereka - doa.
Walaupun skuad Seleccao itu tampil kurang sengat pada saingan awal - kerana mereka gagal mencatat sebarang kemenangan di peringkat kumpulan - mereka menamatkan kejohanan terbesar bola sepak Eropah itu dengan amat membanggakan.
Mereka menumpaskan tuan rumah, Perancis 1-0 pada aksi di Stade de France, Saint-Denis, awal pagi semalam.
Selepas meraikan kejayaan dan menjulang trofi, Ronaldo mengungkapkan doa yang dipanjatkan kepada tuhan.
"Saya sangat gembira kerana sudah menunggu saat ini sejak 2004. Saya minta kepada tuhan supaya memberikan saya kesempatan sekali lagi.
"Sayangnya ia tidak berjalan lancar bagi saya. Saya alami kecederaan pada awal perlawanan," katanya seperti dilaporkan eufa.com.
Namun, penyerang Real Madrid itu tetap yakin pada kemampuan rakan-rakan sepasukannya untuk menghadapi cabaran dibawa pasukan tuan rumah, Perancis.
"Semua pemain Portugal mempunyai kualiti dan kemampuan baik, begitu juga strategi disusun jurulatih untuk kami meraih kemenangan.
"Pujian buat tuhan, semua berjalan dengan baik untuk kami," katanya.
Kejayaan Portugal merangkul trofi Euro buat julung kalinya itu ibarat menghilangkan dahaga panjang Ronaldo selepas enam kejohanan besar disertainya sebelum ini.
Kejayaan semalam juga bermakna Ronaldo berjaya mengubati kekecewaannya ketika tewas 0-1 kepada Greece pada perlawanan akhir Euro 2004.
Sepanjang sejarah Euro Portugal baru memasuki perlawanan akhir sebanyak dua kali berbanding Perancis tiga kali.
Penampilan pertama Portugal di perlawanan akhir Euro pada 12 tahun lalu sebenarnya agak signifikan. Berdepan dengan skuad Greece yang tidak memiliki reputasi tinggi Portugal dilihat berpeluang menjadi juara.
Tambahan pula anak buah Luiz Felipe Scolari itu bermain di gelanggang sendiri.
Namun pada perlawanan akhir di Lisbon itu kira-kira 62,000 penonton menyaksikan skuad kebangsaan Portugal dikalahkan Greece.
