Kalah - itu 'habuan' Perancis apabila Didier Deschamps mengetepikan Karim Benzema daripada skuad kebangsaan negara itu mengharungi cabaran Euro.
Bagi pemain Real Madrid, Alvaro Arbeloa, Benzema adalah antara pemain terbaik dunia dan tidak sepatutnya diabaikan oleh Deschamps.
Arbeloa (gambar) yakin nasib Perancis tidak akan sama dalam Euro 2016 jika Benzema mendapat satu daripada 23 tempat dalam skuad kebangsaan Les Bleus.
"Itulah yang berlaku apabila anda mengetepikan pemain nombor sembilan terbaik dunia," katanya di Twitter.
Benzema, 28, dan Arbeloa, 33, sama-sama bermain untuk kelab Real Madrid sehinggalah pemain Sepanyol berkenaan meninggalkan kelab mereka di akhir musim lalu.
Perancis berpeluang menjulang kejuaraan Euro pada awal pagi Isnin lalu ketika bertarung menentang Portugal.
Bagaimanapun, dengan memiliki kelebihan bermain di gelanggang sendiri Perancis gagal memanfaatkan peluang itu dan tumbang 0-1 kepada jaringan Eder di masa tambahan.
Deschamps mempertaruhkan Olivier Giroud, Andre-Pierre Gignac dan Antoine Griezmann di barisan depan skuadnya.
Namun beberapa peluang terhidang gagal dimanfaatkan mereka.
Ia adalah perlawanan kedua Perancis yang gagal mencipta sebarang gol selepas mereka seri tanpa jaringan dengan Switzerland di peringkat kumpulan.
Portugal pula gagal mencatat sebarang kemenangan di peringkat kumpulan, serta tanpa khidmat Christiano Ronaldo lebih 90 minit, namun berjaya muncul juara dengan gol tunggal Eder.
Deschamps mengetepikan Benzema selepas pemain keturunan Algeria itu terpalit dengan dakwaan skandal ugutan membabitkan rakaman video lucah.
Turut terlibat dalam skandal yang masih disiasat itu ialah seorang lagi pemain kebangsaan Perancis, Mathieu Valbuena.
Sementara itu Arbeloa turut berkongsi kegembiraan dengan dua lagi rakannya dalam Real Madrid, Ronaldo serta Pepe, 33, yang menyumbang kepada kejayaan Portugal di Paris.
