Pada 11 Julai lalu genap 25 tahun pemergian legenda bola sepak negara, allahyarham Mokhtar Dahari dan kini ranking dunia bola sepak Malaysia di kedudukan ke-173.
Semalam, peminat bola sepak tempatan pula dikejutkan dengan langkah dua pemain kebangsaan mengundurkan diri daripada terus berkhidmat untuk negara tercinta ini.
Ada yang menyambut baik pengunduran mereka, tidak kurang juga yang bimbang sekiranya ketiadaan mereka mencacatkan lagi pasukan negara.
Setakat ini belum ada sebarang kempen untuk memujuk mereka tarik balik keputusan itu seperti mana peminat memujuk Lionel Messi jangan tinggalkan pasukan Argentina baru-baru ini.
Sementara itu, misi mencari pengganti tokoh yang lincah di padang seperti Mokhtar sehingga kini belum nampak bayang-bayang, disebalik kesungguhan pihak-pihak tertentu yang begitu ghairah menyediakan pasukan masing-masing di liga tempatan.
Malaysia juga sedang mendidik adik-adik pelapis melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang pastinya diberi harapan besar untuk melihat kejayaan mereka kelak.
Tidak ada Mokhtar hari ini, yang tinggal cuma pusaranya dan kenang-kenangan.
Bekas rakan sepasukan pada zaman kegemilangan Mokhtar, Hassan Sani mengibaratkan legenda itu seperti seniman agung allahyarham Tan Sri P Ramlee yang tidak ada penggantinya sehingga kini.
"Mokhtar adalah permata negara, entah di mana silapnya saya sendiri hairan kita tidak berjaya melahirkan bintang-bintang bola sepak seperti beliau.
"Kita cuma dapat berharap dan berdoa supaya pada masa akan datang Malaysia berjaya melahirkan lebih ramai pemain hebat. Sekiranya seorang pemain mahu berjaya, amalam disiplin yang tinggi dan kerja keras," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Hassan berkata, sesiapa sahaja tidak akan berasa kekok berkawan dengan Mokhtar kerana sikap rendah dirinya dan tidak kedekut ilmu.
"Walaupun ketika itu saya lebih junior, beliau tetap memberi tunjuk ajar sebagai rakan sepasukan. Itu antara kenangan manis saya ketika itu Mokhtar sudah di penghujung kariernya bersama pasukan kebangsaan," katanya yang mewakili negara dari 1978 hingga 1986.
Sementara itu, bagi penyokong tegar bola sepak kebangsaan, Ultras Malaya, adalah menjadi kesilapan sekiranya Malaysia cuba mencari pemain setanding atau sama taraf dengan arwah Mokhtar.
Jurucakapnya, Alfadli Awaludin berkata, sepatutnya kita mencari atau lahirkan pemain lebih baik daripada Mohktar.
"Hanya ada satu Mokhtar Dahari dalam dunia, hanya ada satu Pele, satu Maradona, satu Messi, satu Ronaldo dalam dunia. Mana mungkin ada dua Mokhtar Dahari di dunia ini.
"Bermakna selama ini sistem bola sepak Malaysia telah melakukan kerja yang sia-sia," katanya.
Supermokh baru
Mengambil contoh negara seperti Brazil katanya, mereka tidak mencari 'Pele baru' tetapi melahirkan Zico, Socarates, Ronaldo, Romario, Rivaldo, Ronaldhinho dan Neymar.
"Begitu juga Argentina, tidak mencari 'Maradona baru' tetapi mereka lahirkan Batistuta dan Messi.
"Malaysia? Bila mahu berhenti hidup mengenakan sejarah dan mula mencipta sejarah baru?
"Mokhtar adalah legenda, dia adalah sejarah hebat bola sepak Malaysia. Tetapi sejarah perlu dijadikan pemangkin untuk mencipta sejarah yang lebih hebat di masa hadapan," jelasnya.
Justeru, selepas 25 tahun apakah kita masih mahu menunggu Mohktar dalam wajah lain atau mahu lahirkan orang lain untuk banggakan negara sebelum kemudiannya bersara dengan koleksi jaringan yang banyak dan bukan hanya gol-gol sepakan penalti?
Tahun depan dikhabarkan Akademi Bola Sepak Mohktar Dahari di Gambang, Pahang akan siap sepenuhnya. Apa yang lebih penting bagaimana nama legenda kita itu menjadi disuntik untuk melahirkan dua kali ganda kuasa 'supermokh'.
