Risiko kecederaan, kelesuan melampau dan waktu terhad untuk proses pemulihan memberi kesan kepada prestasi pemain di atas padang.
Ia, kata Persatuan pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), berkait dengan susunan jadual perlawanan yang padat.
Presiden PFAM Hairuddin Omar berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan yang melibatkan Liga Super dan Liga Perdana.
Menurutnya, walaupun perkara itu sudah dibangkitkan pemain dan jurulatih berulang kali, namun mereka hairan ia masih berlarutan.
"Saya terpanggil untuk mengutarakan hal ini kesekian kalinya agar pandangan kami benar-benar diambil perhatian secara serius oleh FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) dan FAM.
"Saya melihat kebanyakan jadual perlawanan tidak menyediakan waktu rehat secukupnya, iaitu minimum tiga hari bagi memisahkan sesuatu perlawanan," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Hairuddin berkata, menurut kajian diterbitkan American Journal of Sport Medicine oleh Dupont G pada 2010, pakar mencadangkan seseorang pemain mendapat rehat sekurang-kurangnya 72 jam antara perlawanan terakhid disertainya dengan perlawanan akan datang.
Kualiti liga menurun
Katanya, ia bagi memastikan risiko mendapat kecederaan di kalangan pemain dapat dikurangkan.
"Kajian itu juga disokong American Academy of Pediatrics (AAP) apabila mendapati atlet yang menerima rehat secukupnya - antara 72 jam hingga 92 jam - mempunyai 68 peratus peluang untuk terleka daripada kecederaan.
"Antara perkara yang perlu diambil kira dalam penjadualan perlawanan ialah tempoh masa yang diberikan untuk pemain berehat selepas sesuatu perlawanan dan waktu perjalanan pasukan untuk perlawanan seterusnya," jelasnya.
Jadual perlawanan liga Malaysia musim ini dilihat lebih padat susulan saingan Piala Malaysia dijalan serentak dengan Liga Super dan Liga Perdana.
Tambah Hairuddin, jadual yang disediakan kini hanya memperuntukkan masa rehat selama dua hari kepada pasukan yang bertanding.
"Keadaan ini akhirnya membawa risiko kecederaan kepada kami, selain kesan keletihan, kelesuan dan seterusnya menjejaskan persembahan di atas padang.
"Agak malang sekiranya kualiti liga menurun hanya disebabkan masalah penjadualan liga yang tidak mengambil kira keadaan para pemain," katanya yang juga pemain pasukan Terengganu.
Sementara itu, PFAM menggesa FMLLP - agensi yang mengelola semua perlawanan bola sepak di negara ini - dan FAM mengambil serius perkara itu demi menjaga keadaan pemain, seterusnya memastikan kualiti liga berada di tahap optimum.
"Saya percaya perkara ini masih boleh diperbetulkan dan inilah perkara yang harus menjadi subjek post-mortem FMLLP selepas semusim mengendalikan liga.
"PFAM amat berbesar hati untuk sama-sama dipanggil duduk semeja dalam proses penjadualan liga supaya kebajikan para pemain dan kepentingan setiap pasukan dijaga sepenuhnya," ujarnya.
