Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Watson tak sangka rekod lebur, tapi tetap gembira

Bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek mengakui tidak menyangka pelari muda, Khairul Hafiz Jantan mampu meleburkan rekod kebangsaan 100 meter berusia 18 tahun miliknya di negeri kelahirannya.

Walaupun sedar atlet kelahiran Melaka itu mampu mencatat keputusan baik selepas melihat aksi awalnya, Watson tetap terkejut rekod 10.30 saat yang begitu lama miliknya dipadamkan di Sarawak.

"Selepas melihat aksi separuh akhir pagi tadi, naluri saya menyatakan dia semakin kuat dan boleh meraih emas. Tetapi tidak jangka dia akan pecahkan rekod.

"Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan pencapaiannya kerana ada generasi baru yang semakin meningkat dari segi prestasi," katanya seperti dipetik sebuah stesen televisyen.

Khairul Hafiz hari ini muncul manusia terpantas negara ini apabila menamatkan larian 100 meter Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di Stadium Sarawak di Kuching, dalam masa 10.18 saat.

Ia sekali gus mengatasi rekod 10.30 saat milik Watson yang dicatatkan pada Kejohanan Sukan Pra-Komanwel 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pingat perak milik pelari tuan rumah, Jonathan Nyepa yang mencatat masa 10.36 saat, manakala Badrul Hisyam Abdul Manap, juga mewakili Melaka, yang turut mencatat masa 10.36 saat terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa berdasarkan 'photo-finish'.

- Bernama

Lihat Komen
ADS