Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Penjelasan FMLLP isu kepadatan jadual Liga Malaysia

Isu kepadatan jadual perlawanan liga Malaysia (Liga-M) musim ini kembali menjadi tumpuan kebanyakan pasukan yang bertanding dan topik perbualan di kalangan penyokong.

Banyak pihak menunding jari kepada pengurusan penganjur iaitu Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan FAM susulan jadual perlawanan yang didakwa memberi tekanan kepada pemain dan pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam bagaimanapun semalam memberi penerangan kepada pihak media berhubung isu tersebut dan beberapa rumusan berdasarkan situasi Liga-M yang dilihat menjadi faktornya.

Enam bulan bercuti, enam bulan beraksi

Menurut Kevin, perjalanan Liga M hanya berlangsung dalam tempoh enam bulan sepanjang tahun yang disusun mengikut keperluan antarabangsa.

Jadual rehat bagi pemain pula adalah selama lapan hingga 10 minggu iaitu di antara tempoh penghabisan musim lalu dan permulaan musim baru.

"Selain itu kalendar perlawanan juga terhenti apabila tiada perlawanan berlangsung sepanjang bulan Ramadan termasuk cuti hari raya Aidilfitri.

"Ini menyebabkan liga bercuti selama enam minggu, manakala tugasan skuad kebangsaan pula biasanya mengambil masa lapan hingga 10 minggu dalam tempoh setahun," katanya.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira enam bulan sudah digunakan dan tempoh perlawanan hanya berbaki enam bulan sahaja.

Tambah beliau, walaupun liga berehat pada bulan Ramadan, setiap pasukan tetap menjalani latihan dan perlawanan persahabatan.

"Pilihan untuk tidak bermain di bulan puasa ini kita buat keputusan (setuju) dan menghormati kehendak penyokong dan pasukan. Sebilangan pasukan tak gemar bermain di bulan puasa," jelasnya.

Kelewatan musim dan jumlah perlawanan

Musim Liga-M pada tahun ini bermula agak lewat iaitu pada pertengahan Februari berbanding jadual asal pada pertengahan Januari.

Ia terpaksa ditunda disebabkan musim lalu berakhir agak lewat dan setiap pasukan bersetuju supaya musim baru dilewatkan bagi memberi ruang kepada pasukan untuk membuat persediaan.

Menurut Kevin, jadual liga ini dipersetujui oleh semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana ketika dibentangkan oleh FMLLP sebelum bermulanya musim bola sepak 2016.

Dari segi jumlah perlawanan pula, FMLPP menjelaskan perlawanan profesional secara minima sepatutnya melibatkan 40 perlawanan dalam sesuatu musim seperti dilakukan liga-liga besar di eropah.

Ia jauh berbeza dengan jumlah perlawanan di negara ini di mana Liga Super misalnya hanya melibatkan 22 perlawanan.

Justeru Kevin berkata, sekiranya kejohanan Piala FA dan Piala Malaysia dimansuhkan ia, akan memberi kesan ke atas pemain.

"Jumlah maksimum perlawanan domestik seorang pemain Liga Super boleh main ketika ini adalah 39 perlawanan semusim. Itupun jika pasukannya masuk final Piala FA dan Piala Malaysia.”

"Ambil contoh seperti pemain Pulau Pinang, pasukan mereka tak layak beraksi di saingan Piala Malaysia dan tersingkir pusingan pertama Piala FA. Akhirnya mereka hanya akan main 23 perlawanan kompetitif sahaja musim ini.

"Bayangkan berapa jumlah perlawanan kompetitif yang pemain kita akan lalui semusim jika Piala FA atau Piala Malaysia dimansuhkan," jelasnya.

Piala Malaysia dan Liga Super serentak?

Kevin berkata, sekiranya kedua-dua pertandingan tidak berjalan serentak pada musim ini, pasukan seperti Pulau Pinang yang beraksi dalam Liga Super tidak akan bermain selama tiga bulan kerana tidak terlibat dengan Piala Malaysia.

Ini disebabkan jadual Liga Super biasanya akan berakhir lebih awal.

"Dalam tiga bulan akan datang ini Pulau Pinang tak mainlah, bukan saja Pulau Pinang tapi tujuh lagi pasukan mengalami nasib yang sama. Bila tidak bermain bukan ke akan wujud masalah pembayaran gaji?

"Bila pasukan itu tak perlu ke padang, kadang-kadang kita (pengurusan) ambil ringan. Pasukan yang habis awal ini gaji mereka tertunggak. Jadi kita memastikan setiap pasukan turun ke padang sampai hujung musim," katanya.

Tambahnya, bagi menunggu musim baru pemain pasukan tersebut terpaksa menanti selama lima bulan untuk membuat penampilan.

"Katakan musim liga  (Super) dah habis bulan Julai dan musim baru bulan Januari, lebih kurang lima, enam bulan dia tak bermain perlawanan kompetatif.

"Pemain hanya mengalami latihan dan perlawanan persahabatan. Kalau dengan cara macam itu bola sepak kita boleh maju, liga kita baik tak perlu ada," ujarnya.

Kenapa Liga-M tak contohi format liga Eropah?

Liga di Eropah menggunakan format semusim melibatkan dua tahun berbeza. Contohnya liga bermula pada Ogos 2016 dan akan berakhir pada Mei 2017. Ia berbeza dengan format Liga-M yang mana satu musim melibatkan satu tahun yang sama.

Kevin menjelaskan situasi di Malaysia tidak membolehkan bola sepak Malaysia mencontohi format penjadualan liga Eropah dengan mengambil kira faktor cuaca seperti musim tengkujuh di negeri-negeri pantai timur pada penghujung tahun.

"Macam mana nak main kalau stadium banjir? Macam mana penyokong Kelantan, Terengganu dan Pahang nak pergi stadium kalau rumah mereka banjir? Ia akan menyebabkan banyak perlawanan tertangguh.

Katanya, format liga di Eropah juga mengambil kira jadual perlawanan antarabangsa yang berlangsung pada bulan Mei hingga Julai ketika liga berehat.

Selain itu di Asia Tenggara pula pada penghujung tahun terdapat tugasan skuad kebangsaan seperti terlibat dengan kejohanan antarabangsa seperti Piala AFF Suzuki.

Peluang ketengah pemain muda

Jadual padat pastinya memberi tekanan kepada pemain utama jika terus diberi tugas beraksi setiap perlawanan. Justeru ia membuka ruang kepada pengurusan dan jurulatih pasukan melakukan penggiliran pemain.

Data FMLLP pada musim ini menunjukkan hanya 303 pemain digunakan dengan hanya 18 daripadanya merupakan pemain bawah 21 tahun melalui 16 perlawanan Liga Super musim ini.

Jumlah itu dilihat berkurang kira-kira 10 peratus berbanding perlawanan ke-18 musim 2015, di mana seramai 326 pemain diturunkan oleh semua pasukan dan melibatkan 31 pemain muda berusia bawah 21 tahun.

Kevin berkata FMLLP telah mengambil langkah penyelesaian kepada masalah itu dengan mengubah peraturan dengan membolehkan setiap pasukan mendaftar 30 pemain berbanding 25 pemain sebelum ini.

Lihat Komen
ADS