Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sukan Olimpik yang berlangsung buat pertama kali di benua Amerika Selatan melabuhkan tirai dengan penuh warna-warni menampilkan pelbagai jenis tarian, dan mengetengahkan kepelbagaian seni budaya rakyat Brazil di Stadium Maracana yang ikonik, di Rio de Janeiro, Ahad.

Temasya sukan itu yang bermula di stadium sama 16 hari lepas, dimulakan dalam keadaan hujan dengan persembahan penuh semangat kesukanan yang mempersonakan ketika atlet terbaik dunia berhimpun untuk mengucapkan selamat tinggal kepada edisi Olimpik kali ke-31 itu.

Para peserta yang berpakaian berwarna-warni seperti burung nuri merentasi ruang udara mercu tanda terkenal dunia, Christ the Redeemer dan Sugarloaf Mountain, sebelum membentuk formasi lima bulatan Olimpik untuk memulakan majlis penutup itu.

Muzik tradisional masyarakat tempatan di Rio dan penampilan seperti ikon 1930-an, Carmen Miranda memulakan persembahan di hadapan baki 11,000 atlet dan pegawai yang hadir di stadium berkenaan.

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada pemain badminton dan barisan atlet terjun, diketuai chef-de-mission Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid dan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, kelihatan santai memasuki stadium, berpakaian sukan 'Harimau'.

Malaysia menamatkan saingan di Rio dengan pungutan pingat terbaik dalam sejarah penyertaan di Olimpik dengan empat pingat perak dan satu gangsa, jauh lebih baik berbanding satu perak dan satu gangsa di London, empat tahun lepas.

Pelari Kenya, Eliud Kipchoge, 31, diberi penghormatan di stadium berkenaan selepas memenangi pingat emas terakhir temasya Rio, iaitu kemenangannya yang ketujuh daripada lapan penyertaan dalam maraton, dengan catatan 2 jam 8 minit 44 saat, pada perlumbaan pagi tadi.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach memuji penganjur dan menyifatkan Olimpik Rio sebagai 'menakjubkan' ketika beliau secara rasmi menutup temasya sukan itu, sebelum api Olimpik dipadamkan.

Abe jadi Super Mario

Bandar raya Rio kemudian menyerahkan bendera Olimpik kepada Tokyo, tuan rumah seterusnya pada 2020. Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe tampil dengan aksi melucukan, berpakaian seperti karakter permainan komputer Super Mario.

Beliau berjanji kerajaannya akan bekerja keras untuk menampilkan Sukan Olimpik yang terbaik pernah diadakan, apabila temasya sukan itu berlangsung di negara Matahari Terbit itu dalam masa empat tahun akan datang.

Temasya Rio juga menyaksikan perenang Amerika Syarikat, Michael Phelps memenangi lima pingat emas dan satu perak, iaitu kekalahan mengejutkan kepada perenang Singapura berusia 21 tahun, Joseph Schooling dalam acara 100m kuak kupu-kupu dengan rekod baharu Olimpik.

Pelari terpantas dunia, Usian Bolt dari Jamaica menamatkan kariernya dalam Olimpik dengan meraih tiga pingat emas bagi acara 100m, 200m dan 4x100m buat kali ketiga berturut-turut, sementara Brazil meraikan kejayaan mereka dengan memenangi pingat emas pertama dalam acara bola sepak di temasya sukan itu.

Seramai 80,000 orang yang hadir di stadium berkenaan, memberi penghormatan terhadap temasya sukan terbesar di dunia itu yang berlangsung di benua tersebut buat pertama kali, biarpun Brazil berdepan dengan krisis politik dan ekonomi.

-Bernama

Lihat Komen
ADS