Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro menyasarkan pingat 'bonus' selepas berjaya menggondol sasaran tiga emas.
Menurut Chef de mission (CDM) negara Dr Ang Kean Koo, sasaran awal adalah untuk memperoleh keputusan lebih baik berbanding edisi sebelum ini di London empat tahun lalu, yang menyaksikan kontinjen negara memenangi satu perak dan satu gangsa.
"Atlet olahraga, memanah dan power lifting adalah sukan yang kita boleh memenangi pingat. Prestasi adalah menakjubkan apabila atlet paralimpik kita berjaya mencipta sejarah dengan memenangi tiga pingat emas," katanya ketika dihubungi Bernama.
Malaysia meraih pingat emas pertama di Paralimik Rio sejak mengambil bahagian dalam Sukan Paralimpik pada 1972 di Heidelberg, Jerman.
Pada Sabtu, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi mencatat rekod bersejarah dalam acara 100m T36 (cerebral palsy) lelaki. Beliau mencatat masa 12.07 saat sekali gus memadam rekod Sukan Paralimpik terdahulu 12.25s dilakukan Roman Pavlyk dari Ukraine, di Beijing pada 2008.
Kejayaan Mohamad Ridzuan, 28, kemudiannya disusuli dengan kejayaan Muhammad Ziyad mencipta rekod baharu dunia melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak balingan 16.84m.
Pada hari Ahad, Abdul Latif Romly terus mempamerkan aksi cemerlang dengan memenangi emas selepas memecahkan rekod dunia dalam kategori acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dengan jarak lompatan 7.60m dalam percubaan kelima.
23 dari 170 negara
Dengan pungutan tiga emas, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-23 dalam carta pungutan pingat dalam kalangan 170 negara yang mengambil bahagian dalam sukan berkenaan manakala China mendominasi tempat pertama dengan 50 emas, 40 perak dan 28 gangsa, diikuti Great Britain (28-16-19) dan Ukraine (22-19-20).
Selepas tidak mengambil bahagian dalam kejohanan berikutnya sejak 1972, Malaysia memperbaiki kedudukannya pada edisi 1988 di Seoul, Korea Selatan dan berjaya memenangi pingat pertama negara menerusi P. Mariappan dalam acara powerlifting dalam Sukan Paralimpik dengan membawa pulang pingat gangsa.
Mariappan mengulangi kejayaan sama dalam Sukan Paralimpik Barcelona 1992 sementara rakan sepasukan Cheok Kon Fatt berjaya menggondol pingat perak, juga dalam acara powerlifting. Mohd Khasseri Othman pula menyumbang pingat gangsa dalam olahraga.
Selepas ketandusan pingat sehingga 2008, akhirnya Siow Lee Chan menamatkan kemarau pingat di Beijing, China dengan memperoleh pingat gangsa daripada acara powerlifting.
Pada Sukan Paralimpik 2012 di London, kontinjen Paralimpik Malaysia membawa pulang pingat perak dan gangsa melalui pemanah Hasihin Sanawi dalam acara Recurve lelaki, serta perak daripada Muhammad Ziyad.
-Bernama
