Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Paralimpik berakhir duka, bendera berkibar separuh tiang
Diterbitkan:  Sep 19, 2016 12:54 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Walaupun dimeriahkan dengan pesta bunga api, suasana sedih tetap menyelimuti kontinjen paralimpik Rio de Janeiro, Brazil dalam acara penutupan yang berlangsung di Stadium Maracana.

Suasana itu susulan insiden yang menimpa atlet berbasikal Iran, Bahman Golbarnezhad.

Pelumba berusia 48 tahun itu meninggal dunia susulan kemalangan maut ketika dalam perlumbaan bagi kategori Road Race, semalam.

"Kita semua bersatu dalam kesedihan," kata Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa Philip Craven seperti dilaporkan BBC.

"Hari ini sepatutnya kita melangsungkan perayaan kejohanan yang berlangsung selama 12 hari.

“Namun, ia berlangsung dalam keadaan suasana suram susulan insiden tragis semalam," tambahnya.

Pada acara penutupan itu, bendera-bendera negara yang menyertai paralimpik 2016 juga dikibarkan separuh tiang sebagai memperingati pemergian Bahman.

China juara keseluruhan

Simbolik berakhirnya temasya itu turut dilakukan dengan penyerahan obor penganjuran kepada wakil negara Jepun sebagai tuan rumah edisi 2020.

Edisi Paralimpik Rio 2016 menyaksikan China tampil sebagai juara keseluruhan dengan pungutan 107 pingat emas, 81 perak dan 51 gangsa.

Pencapaian itu jauh mengatasi naib juara iaitu Great Britain dengan pencapaian 64 emas, 39 perak dan 44 pingat gangsa, manakala Ukraine berada pada kedudukan ketiga diikuti Amerika Syarikat di tangga keempat.

Sementara itu, Malaysia meraih kedudukan ke-36 selepas menamatkan saingan dengan pencapaian terbaik sepanjang penyertaan di arena paralimpik dengan pungutan tiga pingat emas dan satu gangsa.

Prestasi barisan atlet negara itu meletakkan Malaysia di kedudukan kedua antara negara Asia Tenggara diatasi Thailand yang meraih tangga ke-23 keseluruhan.

Malaysia meraih pingat emas melalui Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter T36 (cerebral palsy), diikuti kejayaan Muhammad Ziyad Zolkefli yang mencipta rekod dunia acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak balingan 16.84m.

Satu lagi emas dicipta Abdul Latif Romly yang memenangi emas selepas memecahkan rekod dunia acara lompat jauh T20 dengan jarak lompatan 7.60m dan disusuli pingat gangsa Siti Noor Radiah Ismail bagi acara lompat jauh wanita T20.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS