Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pemain import dianugerah Bintang Cemerlang Melaka
Diterbitkan:  Oct 15, 2016 8:21 PM
Dikemaskini: 12:28 PM

Pemain Melaka United, Ilija Spasojevic mencipta sejarah tersendiri dengan rekod pemain import pertama menerima anugerah Bintang Cemerlang Melaka.

Kapten skuad Sang Kancil kelahiran Yugoslavia itu antara 34 individu penerima anugerah bersempena sambutan Hari Lahir Ke-78 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Kapten skuad Sang Kancil yang mesra dipanggil sebagai 'Spaso' berkata, anugerah tersebut satu penghormatan besar buat dirinya.

"Saya amat gembira kerana menjadi pemain import Melaka yang pertama untuk menerima anugerah ini dan saya akan selalu mengingati hari bersejarah ini.

"Ia adalah satu penghormatan besar bagi saya untuk menerima anugerah 'Bintang Cemerlang Melaka' daripada Gabenor Melaka," katanya dalam satu tulisan di Facebook.

Istiadat penganugerahan tersebut berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka, hari ini.

Dalam catatan tersebut, penyerang berusia 29 tahun itu turut menulis sejarah ringkas penganugerahan bintang tersebut.

"Bintang ini mula dikurniakan pada tahun 1988 kepada individu yang telah berbakti dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada negeri Melaka," katanya.

Spasojevic berjaya membawa Melaka United muncul juara Liga Perdana 2016 di samping muncul sebagai penjaring terbanyak dengan rekod 24 gol dalam 21 perlawanan.

Skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu akan berdepan kelab Sime Darby untuk perlawanan akhir musim ini pada 22 Oktober nanti.

Sementara itu, Bernama melaporkan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira.

Pada istiadat itu, seramai 228 orang menerima darjah, bintang dan pingat masing-masing didahului Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron yang merupakan penerima tunggal Darjah Utama Negeri Melaka membawa gelaran Datuk Seri Utama.

 

 


 

 

Lihat Komen
ADS