Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Raja Ahmad cadang Najib jadi nakhoda FAM
Diterbitkan:  Oct 18, 2016 3:22 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Jika sebelum ini beberapa nama diangkat sebagai tokoh layak menerajui FAM, salah seorang tokoh 'veteran' dalam persatuan itu mencadangkan Datuk Seri Najib Razak menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada pandangan bekas naib presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar perdana menteri adalah tokoh yang layak menduduki kerusi presiden badan induk bola sepak negara itu.

Cadangan itu katanya, selari dengan sejarah presiden FAM yang menyaksikan dua perdana menteri pernah diangkat ke kedudukan itu, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa Najib.

"Bagi saya presiden FAM perlu orang yang berpengaruh. Apa salahnya kalau kita tawarkan kepada perdana menteri.

"Terpulang kepada beliau sama ada bersetuju untuk dicalonkan atau tidak. Sebab bola sepak adalah ibu segala sukan," katanya seperti dilaporkan Utusan Online hari ini.

Kerusi presiden FAM akan dikosongkan Tengku Mahkota Pahang pada pertengahan tahun depan apabila persatuan itu mengadakan pemilihan.

Sering dikecam ramai kerusi tertinggi FAM kini menjadi perhatian kerana belum ada mana-mana tokoh yang dilihat sesuai atau benar-benar menawarkan diri mendudukinya.

Sebelum ini ada beberapa nama disebut-sebut, termasuk Tengku Mahkota Johor Tengku Ismail Sultan Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

Raja Ahmad Zainuddin berkata suatu ketika dulu kerusi presiden FAM diisi seorang menteri, iaitu Tan Sri Hamzah Abu Samah bagi tempoh 1976 hingga 1983.

Bagaimanapun katanya keadaan kini berbeza kerana seorang menteri tidak dibenarkan menjawat tugas presiden persatuan berkenaan.

"Bagi saya Datuk Seri Najib seorang tokoh yang hebat, dia boleh bagi semangat dan motivasi kepada pemain dalam usaha mengembalikan martabat bola sepak negara," kata Raja Ahmad Zainuddin.

Lihat Komen
ADS