Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN 'Berat nanang', ungkapan dalam loghat Terengganu itu muncul dari mulut seorang penyokong Harimau Malaysia ketika berjalan keluar dari Stadium Shah Alam, sebaik tamat perlawanan menentang Papua New Guinea, semalam.

Barangkali ungkapan yang membawa maksud prestasi 'teruk' itu digambarkan berdasarkan persembahan pasukan bola sepak kebangsaan pada aksi persahabatan antarabangsa itu.

Justeru, cabaran di kejohanan Piala Suzuki AFF 2016 nampaknya bukan kerja mudah buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sekiranya kelemahan biasa pemain tidak diperbaiki segera.

Walaupun mencatat kemenangan tipis 2-1, kelemahan-kelemahan kritikal skuad bola sepak kebangsaan masih tergambar melalui aksi tidak konsisten di atas padang.

Di barisan benteng pertahanan, pemain yang diturunkan dilihat kurang persefahaman dan interaksi sesama pemain kurang berkesan seolah-olah wujudnya jurang 'saling berharap'.

Beberapa gerakan pasukan lawan nampak mudah membolosi ruang tengah benteng pertahanan sekali gus mendatangkan risiko gol.

Bagaimanapun, keampuhan benteng pasukan negara terserlah melalui pertahanan kanan dan kiri sekali gus membuatkan jentera serangan PNG lebih banyak melakukan serangan tengah.

Kesan langsung turut melibatkan jentera tengah Harimau Malaysia yang diketuai Baddrol Bakhtiar. Pemain Kedah ini kurang menyerlah dan sentuhannya tidak banyak membantu serangan.

Sebaliknya Baddrol lebih banyak turun membantu barisan pertahanan.

Sementara itu, di posisi serangan keberadaan Ahmad Hazwan Bakri, Amri Yahyah dan Darren Lok boleh dipuji walaupun belum cukup tajam.

Keserasian antara pemain serangan tidak menjadi masalahan besar, tetapi ruang perlu dilihat melalui arah gerakan bola. Dari bawah ke kawasan pihak lawan sering kali tersangkut dengan hantaran tidak tepat, komunikasi lemah antara pemain dan akhirnya banyak kehilangan bola.

Kurang sempurna

Prestasi belum terbaik, itulah yang dikatakan Kim Swee mengulas persembahan anak buahnya dan banyak aspek perlu ditingkatkan untuk berdepan cabaran Piala Suzuki AFF 20 November ini.

"Berdasarkan perlawanan petang ini, banyak perlu diperbaiki. Kami masih melakukan kesilapan mudah dan ia boleh dimanfaatkan pihak lawan untuk menjaringkan gol," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dengan tempoh waktu yang ada sebelum dijadual terbang ke Myanmar esok, persiapan pasukan negara nampak kurang meyakinkan dan mengharap keajaiban berpihak kepada kita.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan B yang turut menempatkan pasukan Kemboja, Vietnam dan tuan rumah, Myanmar dalam merebut tempat dua terbaik kumpulan untuk layak ke separuh akhir.

Atas kertas, peluang untuk Harimau Malaysia adalah 50-50. Jika ranking dunia dijadikan ukuran, Malaysia berada di kedudukan ketiga dengan ranking 164 berbanding Vietnam (136) dan Myanmar (156), manakala Kemboja di kedudukan 167.

Malaysia dilihat berpeluang untuk menyuntik motivasi positif sekiranya berjaya mengatasi Kemboja pada perlawanan pertama 20 November ini.

Perlawanan itu dilihat akan menjadi kayu ukur untuk momentum pasukan pada perlawanan berikutnya bertemu Vietnam (23 November).

Tugas sukar juga menanti skuad negara untuk berdepan Myanmar (26 November) kerana mereka pastinya mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang dan di hadapan penyokong sendiri.

Mari kita berdoa!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS