Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

FAM tetap membenarkan skuad kebangsaan meneruskan aksi di Piala AFF Suzuki yang sedang berlangsung di Yangon, Myanmar walaupun ada desakan untuk memboikotnya.

Pada masa sama, Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) memberi amaran FAM boleh digantung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekiranya memboikot kejohanan itu keranan membantah penindasan berterusan kerajaan Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Setiausaha Agung AFF Datuk Seri Azzuddin Ahmad berkata pertubuhan itu turut berdepan tindakan undang-undang daripada rakan pemasaran rasmi kejohanan itu, Lagarde Sports jika FAM memboikotnya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan Malaysia mempertimbangkan cadangan boikot berkenaan yang memberi implikasi negatif kepada banyak pihak yang terlibat secara langsung dengan kejohanan kali ini.

"Kita perlu membayar pampasan kepada Lagarde Sports sekiranya kejohanan ini diboikot... AFF sendiri tidak menerima apa-apa bantuan kewangan daripada kerajaan Malaysia," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di Yangon, Myanmar hari ini.

Pada masa sama, Azzudin turut mempersoalkan tindakan segelintir individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang lantang mendesak kerajaan memboikot kejohanan dwitahunan yang diadakan sejak 1996 itu.

Bola berkecuali dari politik

"Kenapa tunggu Piala AFF bermula baru mereka begitu ghairah usulkan supaya kejohanan ini diboikot?

"Presiden AFF adalah (Sultan Pahang) Sultan Ahmad Shah. Keyakinan (12 anggota gabungan AFF) di atas kepimpinan Tuanku Sultan meyakinkan mereka menyokong Tuanku dan kita pula tidak menghargai penghormatan itu," katanya.

Azzudin, bekas Setiausaha Agung FAM dari 2007-2013 berkata ada cara lain yang boleh diambil Malaysia untuk mengutuk tindakan tentera Myanmmar ke atas etnik Rohingya daripada memboikot kejohanan yang menyatukan negara Asean.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan skuad Harimau Malaysia akan tetap meneruskan aksi terakhir Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Sabtu ini.

Beliau yang juga pengurus skuad kebangsaan turut meminta pemain kebangsaan untuk melupakan cadangan boikot tersebut dan terus fokus menghadapi aksi menentang Myanmar.

"Statut FAM, AFC dan Fifa menjelaskan bola sepak berkecuali daripada politik, agama, perkauman dan sebagainya dan kalau kita nak tarik diri, kita sepatutnya sudah berbuat demikian awal-awal lagi, bukannya sekarang kerana isu ini sudah lama berlaku.

"Kenapa FAM dan bola sepak menjadi mangsa pula untuk isu ini dan bukan melibatkan perkara lain? Isu ini sedikit sebanyak menjejaskan moral pemain skuad kebangsaan," kata Hamidin.

Beliau bagaimanapun berharap mesyuarat kabinet esok yang akan membincangkan isu itu dapat mencapai satu keputusan positif mengenai cadangan memboikot kejohanan tersebut.

Khamis lalu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyeru pasukan negara menarik diri daripada Piala AFF Suzuki sebagai bantahan terhadap tindakan tentera Myanmar terhadap penduduk etnik Rohingnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS