Teknik 'knuckleball' yang digunakan Mohd Faiz Subri sewaktu menghasilkan gol yang tersenarai dalam Anugerah Puskas FIFA, kini menjadi ikutan peminat bola sepak tempatan.
Gol yang mencetuskan fenomena itu bukan setakat menjadi topik hangat peminat bola sepak, malah membuatkan ramai pemain muda cuba menggunakan teknik sama ketika melakukan sepakan percuma.
Penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam, Richman Arif, 18, berkata beliau amat mengagumi teknik yang digunakan Mohd Faiz dan ia mendorongnya untuk berlatih menghasilkan jaringan seperti itu.
"Saya amat teruja apabila melihat rakaman video gol tersebut dan sejak itu saya berlatih setiap hari untuk menguasai teknik 'knuckleball'.
"Bagi saya jaringan Mohd Faiz itu adalah yang terbaik dan saya sangat berharap gol tersebut terpilih sebagai jaringan tercantik pada Anugerah Puskas FIFA nanti," katanya ketika ditemui Bernama.
Sementara itu, Fahmi Rosly, 24, berkata teknik 'knuckleball' Mohd Faiz itu merupakan satu teknik yang paling sukar untuk dikuasai dan mengakui jaringan tersebut adalah yang terbaik pernah beliau saksikan.
"Teknik 'knuckleball' bukanlah satu teknik yang boleh dikuasai sekelip mata, ia memerlukan kerja keras dalam latihan serta daya fokus yang tinggi. Bagi saya, jaringan itu adalah yang terbaik pernah saya lihat setakat ini," katanya.
Terdahulu, FIFA menerusi lawan web rasminya, www.fifa.com pada Isnin lepas menyenaraipendekkan jaringan Mohd Faiz dalam 10 gol menarik dari 30 Sept 2015
sehingga 30 Sept 2016 untuk Anugerah Puskas FIFA.
Peminat bola sepak tempatan berpeluang mengundi jaringan tersebut melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sehingga 2 Dis ini.
Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian tertinggi akan melalui proses undian kedua dan pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich pada 9 Jan depan.
- Bernama
